Guna Penghidap HIV/AIDS Halau Penduduk Degil, Ugut Sebar Virus

ZhengZhou – Lima suspek ditahan di tengah China, kerana disyaki mempergunakan penghidap HIV/AIDS untuk mengusir penduduk yang enggan mengosongkan rumah mereka, bagi memberi laluan kepada projek pembinaan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, tiga pegawai perumahan, termasuk Timbalan Ketua Biro Perumahan Daerah Wodong di bandar Nanyang, Wang Hesheng diberi amaran, kerana cuai dalam menjalankan tugas mereka.

Polis sedang mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

Bagi mempercepatkan kerja merobohkan rumah-rumah lama, sebuah syarikat pembinaan, Yi’an dikatakan mengupah seorang lelaki bernama Liu untuk mengetuai projek perobohan itu.

Liu kemudiannya dikatakan meminta seorang penghidap HIV/AIDS yang dikenali sebagai Cui untuk menubuhkan sebuah pasukan perobohan.

Pasukan yang dianggotai enam pesakit HIV/AIDS itu, bertindak menakut-nakutkan penduduk yang enggan menandatangani kontrak perobohan, dengan menunjukkan kad pengenalan dan dokumen AIDS mereka, selain mengugut akan menyebarkan virus HIV kepada penduduk yang degil.

Mereka turut menggunakan taktik lain, termasuk membakar mercun di luar rumah serta memecahkan tingkap rumah penduduk dengan lastik.

Ada di kalangan penduduk itu akhirnya berpindah, kerana takut dijangkiti virus HIV.

Jumlah penghidap HIV/AIDS di Wilayah Henan antara yang paling ramai di China, suatu ketika dahulu, dengan ramai di kalangan mereka dijangkiti HIV, selepas menjual darah kepada “geng darah” haram. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.