30 Kilometer Redah Banjir Cari Petrol Dan Diesel Demi Hidupkan Generator

Pasir Mas – Seorang pemuda, terpaksa meredah banjir hampir 30km, semata-mata mahu mencari bekalan petrol dan diesel untuk menghidupkan generator di rumahnya.
Mohamad Hafiz Mustafa, 23, (kirdari kampung Tendong Pasir Mas berkata, sejak banjir melanda negeri itu hampir seminggu lalu, bekalan petrol sangat kritikal.
Ini kerana, kebanyakan stesen petrol di kawasannya ditutup akibat ditenggelami air dan ada juga terputus bekalan elektrik.
Beberapa buah stesen yang masih beroperasi pula hanya mempunyai bekalan terhad kerana bekalan tidak sampai ekoran jalan darat yang terputus.
“Dari Tendong, saya terpaksa melalui Wakaf Bharu, kemudian Kota Bharu dan ke Pasir Hor, baru jumpa stesen minyak yang beroperasi.
“Mula-mula naik motor, lepas tu jalan kaki hampir satu kilometer harung air paras pinggang.
“Kemudian saya terpaksa tahan lori ayam, lepas tu tumpang trak bomba dan tumpang motor, baru boleh sampai ke stesen minyak” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu hari ini.
Menurutnya, ketika berada dalam trak bomba, kelihatan ramai penduduk di tepi jalan yang merayu meminta bekalan air bersih sambil menunjukkan botol-botol kosong masing-masibh.
Malangnya trak bomba itu tidak membawa apa-apa bekalan ketika itu.
Hafiz yang juga pelajar sebuah IPTA di ibu negara berkata, beliau pulang ke kampung sempena cuti minggu ulang kaji, sebelum peperiksaan akhir semesta minggu depan.
Rumah keluarganya bagaimanapun tidak dinaiki air tetapi semua laluan keluar tersekat dengan air seperti berada di sebuah pulau.
Menurut beliau lagi, sekurang-kurangnya tujuh stesen minyak dilaluinya sepanjang perjalanan itu namun semuanya tutup.
Menyambung cerita beliau berkata, suasana di stesen juga penuh sesak dengan kenderaan yang kebanyakannya pacuan empat roda, berbaris untuk mengisi minyak.
Ada juga yang datang sepertinya dengan membawa tong untuk diisi petrol.
“Saya terpaksa menunggu hampir satu jam,” katanya sambil menjelaskan beliau menumpang sebuah pacuan empat roda untuk pulang.
Hafiz mendakwa, sejak beberapa hari lalu, ramai yang bercerita tentang masalah kehabisan minyak.
“Ada yang sampai bergaduh di stesen minyak berebut giliran.
“Ada pula lori-lori yang diletak di atas jambatan dan tempat tinggi, petrolnya dicuri,” kata Hafiz.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana berjaya mengharungi perjalanan itu dengan selamat. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.