Hilman Pertikai Pelucutan Jawatan, Dakwa Pengerusi, Timbalan Pengerusi AMK Tetap Sah

KUALA LUMPUR – Kedudukan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad, kekal memegang jawatan masing-masing sehingga pemilihan sayap itu akan datang.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, berkata jawatan itu kekal sah kerana perlembagaan parti dan Peraturan Tetap AMK tidak memberi sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK untuk melucutkan kuasa dua jawatan berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap adalah sebahagian daripada Kongres Nasional yang merupakan kuasa tertinggi parti sebagai mana yang termaktub dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 17 Perlembagaan PKR.

Katanya, surat Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Razak, yang disifatkan dangkal itu cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan perlucutan itu dengan hanya menyatakan Perkara 5.1 dan 5.3 Peraturan Tetap, tetapi menyembunyikan Perkara 5.2 dalam Peraturan Tetap.

“Ini kerana Perkara 5.2 telah memperuntukkan bahawa ‘Semua pemegang jawatan dalam AMK adalah kekal sebagai anggota AMK Muda Keadilan walaupun melebihi had umur sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan oleh pemegang jawatan yang baharu’.

“Fakta bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanyalah berjumlah 270 orang memperlihatkan betapa kepemimpinan MPP AMK adalah lemah dan tidak tersusun kerana Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap memperuntukkan tujuh perwakilan AMK untuk setiap cabang.

“Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ini bermakna kongres hanya dihadiri kurang 39 cabang daripada lebih 178 cabang seluruh negara. Apatah lagi semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) disahkan dalam Kongres Nasional 2018. Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu, merujuk kepada surat pelucutan jawatan Mizan Adli dan Mohd Ramly sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap AMK.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai Timbalan Ketua AMK untuk menegaskan bahawa Mizan Adli dan Mohd Ramly kekal sah memegang jawatan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepemimpinan parti segera bertindak untuk menarik semula surat perlucutan jawatan itu memandangkan ia dengan jelas melanggar peruntukan yang telah termaktub dalam perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap AMK.

Sebelum ini, Ahmad Syukri Razak dalam suratnya kelmarin, memaklumkan kedua-duanya dilucutkan jawatan kerana ada keraguan yang timbul daripada pemilihan sebelum ini.

Berdasarkan surat itu, pengiraan secara manual mendapati kedua-duanya menerima jumlah undi yang lebih tinggi daripada jumlah perwakilan yang layak mengundi.

Selain itu, isu berkenaan kelayakan umur turut dibangkitkan dalam surat berkenaan.

Pemecatan itu dipersetujui Ketua Pemuda AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang mendakwa kedua-dua mereka disingkirkan dari jawatan masing-masing kerana usia melebihi 35 tahun.

Akmal Nasrullah dilaporkan berkata, ia sejajar perlembagaan parti yang menetapkan anggota sayap itu yang berumur di bawah 35 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!