VIDEO: ‘Fun Walk & Plogging’ Terima Sambutan Hangat, Capai Sasaran 2,000 Penyertaan

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Walaupun baru kali pertama diperkenalkan pada sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018), acara ‘Fun Walk & Plogging’ nyata mendapat sambutan yang hangat dan menggalakkan daripada orang awam.

Ini terbukti apabila acara yang menyasarkan penyertaan seramai 2,000 orang itu berjaya mencapai sasarannya.

Malah tanpa diduga, masih terdapat permintaan daripada orang awam untuk turut sama menyertai acara berkenaan walaupun pendaftarannya sudah ditutup beberapa hari lalu.

Menurut Penyelaras Program Fun Walk & Plogging HKSK2018, Mohd Rohaidy Zulkifli, kelainan yang ditampilkan menerusi acara tersebut iaitu berjalan sambil mengutip sampah, pastinya menjadi faktor mengapa ia mendapat sambutan hangat masyarakat.

“Sambutan daripada komuniti setempat sangat menggalakkan, walaupun kita dah tutup penyertaan pendaftaran dalam talian(online) tetapi masih ramai yang whatsapp dan email untuk sama-sama menyertai aktiviti Fun Walk & Plogging bagi menjayakan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018.

“Kalau kita tengok sebelum ini, ramai rakyat kita yang berjogging sambil mengutip sampah. Kelainan kali ini, kita cuma santai dalam masa yang sama mereka menjaga alam sekitar sambil mengutip sampah. Untuk makluman semua, pada kali ini program Fun Walk & Plogging adalah tanpa plastik. Jadi mereka nanti akan kutip dan buang terus ke dalam tong sampah,” katanya kepada SuaraTv sewaktu sesi penyerahan baju peserta Fun Walk & Plogging dan penghantaran barang kitar semula oleh para perserta di Pantai Eco Park, hari ini.

‘Fun Walk & Plogging’ merupakan salah satu acara yang menjadi tarikan pada HKSK2018 yang akan berlangsung pada 1 Disember ini di Pantai Eco Park.

Apa yang menarik, orang awam yang berminat untuk menyertai acara ini tidak dikenakan sebarang yuran pendaftaran, sebaliknya mereka diwajibkan untuk membawa satu daripada tiga jenis barangan kitar semula selepas selesai mendaftar secara dalam talian (online).

Peserta boleh memilih untuk membawa 10 naskhah surat khabar atau, 10 botol plastik, atau 10 tin aluminium.

Sesi penyerahan baju peserta Fun Walk & Plogging dan penghantaran barang kitar semula akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 sehingga 30 November bertempat di Pantai Eco Park.

Sementara itu, bagi salah seorang perserta, Azman Che Pa, 47, berkata beliau membawa 160 naskhah surat khabar untuk menyertai acara tersebut bersama 15 ahli keluarganya yang lain.

Kata Azman, beliau dan keluarga memang tidak melepaskan peluang untuk menghadiri HKSK sejak lima tahun yang lalu kerana berpendapat ia adalah program yang sangat berfaedah dan memberi manfaat.

“Hari ini saya buat penukaran untuk 16 orang. Saya bawa surat khabar, jika diikut syarat dia, seorang peserta memerlukan 10 naskhah. Maka hari ini saya bawa 160 naskhah. Setiap tahun saya mengikuti program SWCorp.

“Selama saya ikuti, Hari Kitar Semula ini memang seronok untuk keluarga. Kita bawa anak kita enjoy.

“Kepada mana yang belum pernah mengikuti program ini, saya syorkan untuk cuba. Setiap tahun ia biasa dalam bulan 11, mereka akan keluarkan iklan untuk pendaftaran,” katanya.

Bagi Tusiah Sino, 57, beliau berpendapat acara seumpama ini wajar diteruskan untuk tahun mendatang memandangkan ia memberi manfaat bukan sahaja untuk kebersihan alam sekitar, malah mengeratkan silaturrahim.

“Program ini sangat bagus sebab kalau kita buang sahaja, membazir. Apa kata kita sertai macam mana cara nak kitar semula, supaya benda yang terbuang itu terpakai. Kalau tak sertai, rugi lah kerana penduduk PPR Seri Pantai ini ramai yang berminat untuk sertai, maka saya mengetuai mereka.

“Digalakkan buat setahun sekali sebab ia mengingatkan penduduk sekitar PPR ini, contohnya botol. Jangan dibuang,boleh kitar semula.

“Sebelum ini belum ada … bagus lah, Untuk kesihatan juga. Penduduk pun kadang-kadang malas nak berjoging.Jadi bila ada program sebegini beramai-ramai, rasa bersemangat nak sertai. Digalakkan lebih kerap buat program seperti ini.

Pendapat yang sama diutarakan seorang pelajar, Ahmad Danial, 22.

Beliau yang juga salah seorang peserta turut menyarankan agar acara ini diteruskan pada tahun akan datang memandangkan ia mampu mendidik masyarakat untuk membudayakan amalan kitar semula.

“Program ini bagus kerana ia melestarikan alam, jadi sambil kita sertai Fun Walk, kita boleh menjaga alam sekitar dengan mengumpul botol kosong,tin…ia barang yang boleh dikitar semula untuk kegunaan lain.

“Bagi saya, bagus laa sebab pertamanya, ia tidak menggunakan duit sebaliknya ia guna barang kiitar semula. Kita boleh cari je di mana-mana kerana kadang-kadang orang buang sampah. Jadi sambil mencari, kita membersihkan juga. Saya harap program ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.