Muhamad Adib Sudah Sedar, Mula Beri Tindak Balas

KUALA LUMPUR – Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya Muhammad Adib Mohd Kassim sudah mula sedarkan diri.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan berkata, Muhammad Adib juga menunjukkan tindak balas terhadap suara, namun masih berada dalam keadaan kritikal.

“Beliau sudah kurang bergantung kepada ubat-ubatan untuk hatinya dan kebergantungan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) juga dikurangkan.

“Bagaimanapun, masih memerlukan rawatan penuh untuk buah pinggangya dan masih diletakkan dalam keadaan koma,” katanya.

Menurutnya, IJN juga sudah memulakan sokongan fisioterapi pasif sebagai sebahagian daripada pemulihan ‘cardiopulmonary’ Muhammad Adib.

Muhammad Adib mengalami cedera parah dipercayai dipukul sehingga mengalami patah tulang rusuk dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, kelmarin.

Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.

Beliau kemudian dikejarkan ke SJMC sebelum dipindahkan ke IJN pada jam 11.30 malam kelmarin. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.