Masa Depan Kuil Sri Maha Mariamman Diketahui 11 Januari Tahun Depan

SHAH ALAM – Masa depan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ25, Subang Jaya akan ditentukan dalam satu prosiding mahkamah pada 11 Januari tahun depan, demikian kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Justeru kata Amirudin, kerajaan Selangor pimpinannya memberi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan sehingga satu penyelesaiah menyeluruh dibuat pada tarikh berkenaan membabitkan antara pihak kuil dan pemaju.

“Sehingga satu penyelesaian menyeluruh dapat dibuat, makanya saya akan beri jaminan tidak ada sebarang perobohan terhadap kuil terbabit atau pun tindakan undang-undang dibuat kerana pada 11 Januari, barulah akan ada satu prosiding di mahkamah berkenaan satu injuksi supaya tidak akan ada perobohan atau penghalangan perobohan dibuat.

“Jadi dari tempoh sekarang sampai ke bulan Januari saya dapat lihat ada jaminan tidak ada sebarang perobohan akan dilaksanakan dan dengan itu kita akan dapat mengekalkan keadaan kuil tersebut,” katanya pada sidang media di DUN Selangor hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau. 

Semalam, Amirudin mengadakan perbincangan bersama Waytha Moorthy, Ganabatirau, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa dan ADUN Sentosa, Gunaraj George untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu kuil kontroversi tersebut.

Amirudin menambah, kerajaan Selangor berpendirian teguh dan mengulangi tekad untuk mencari penyelesaian menurut rangka perundangan serta menurut kedaulatan undang-undang.

“Saya juga ingin menolak desas-desus Kerajaan Negeri akan mengambil-alih tanah seperti yang didakwa beberapa pihak,” katanya lagi. 

Kekecohan yang tercetus pada awal pagi Isnin baru-baru ini berlarutan selama dua hari berpunca daripada isu penempatan semula berikutan perebutan antara dua kumpulan dalam pentadbiran kuil.

Kekecohan tersebut menyebabkan bererapa kenderaan musnah terbakar, jentera bomba mengalami kerosakan dengan seorang anggotanya cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.