Mahdzir Ke SPRM, Beri Keterangan Mengenai Projek Sistem Solar

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Sumber berkata, Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Naib Presiden UMNO itu tiba pada jam 10 pagi dengan menaiki kereta Mercedes-Benz putih.

“Beliau dipanggil ke SPRM untuk memberi keterangan dan sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan ditahan atau tidak,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini laporan media yang memetik sumber mendakwa seorang bekas menteri bakal ditahan SPRM, hari ini sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.

Pada mulanya, bekas menteri terbabit dijanjikan habuan berjumlah jutaan ringgit untuk Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak namun akhirnya hanya menerima RM50,000 sahaja.

Secara keseluruhan projek berkenaan adalah bernilai RM1.25 billion dengan rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Katanya, kedua-dua kesalahan meminta dan menerima suapan itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, dan sekiranya didapati bersalah dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Selain bekas menteri ini, terdapat juga individu lain yang akan didakwa atas kesalahan meminta wang daripada Pengarah Urusan, Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Pada 15 November lalu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, didakwa bersama bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, dengan menerima rasuah berkaitan dengan projek itu.

Rosmah dikatakan cuba memperoleh RM187.5 juta dari Saidi antara Mac dan April 2016, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak yang ditawarkan sebagai dorongan untuk membantu syarikat memperoleh projek melalui rundingan terus dari Kementerian Pendidikan.

Rosmah juga didakwa menerima suapan sebanyak RM1.5 juta daripada Saidi untuk membantu beliau memperoleh kontrak itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 September tahun lalu di kediaman di Taman Duta, di sini. – BERITA HARIAN

One thought on “Mahdzir Ke SPRM, Beri Keterangan Mengenai Projek Sistem Solar

  • November 29, 2018 at 4:46 pm
    Permalink

    Ni sama je spesis??? Korupsi….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.