224 Dokumen Kes Najib & Irwan Diserahkan Kepada Pihak Pembelaan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu hampir 80 peratus iaitu sebanyak 224 dokumen berkaitan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam tuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM6,636,065,000 telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Perkara itu dimaklumkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Sri Ram berkata pihak pendakwaan akan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan untuk perbicaraan  secepat mungkin.

Beliau  turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan pengurusan kes tersebut  telah ditetapkan pada 30 November,  pukul 9 pagi di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail.

Hakim Azman menetapkan 7 Dis  untuk sebutan semula kes. Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan Datuk K. Kumaraendran serta Datuk Geethan Ram Vincent bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar.

Pada 25 Oktober lepas, Najib, 65, dan Mohd Irwan Serigar, 61, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang telah diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa  telah melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)” milik Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka  didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah  sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000)  dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia,Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Disember 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Disember 2017 .

Mereka didakwa mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

One thought on “224 Dokumen Kes Najib & Irwan Diserahkan Kepada Pihak Pembelaan

  • November 29, 2018 at 5:18 pm
    Permalink

    Cpt2 lah jatuh hukum semua yg rasuah?? Meluat mual tgk muka??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.