‘Tunggu Sidang Akhbar Khas’

KUALA LUMPUR: Kumpulan Kristal akan mengadakan sidang akhbar khas, tidak lama lagi bagi menjawab tuduhan bekas penyanyinya, Lan berhubung kontroversi pengundurannya daripada band berkenaan.

Pihak pengurusan kumpulan Kristal memberitahu, pada sidang media itu, anggota band juga akan memperincikan projek mencari vokalis baharu terutama kriteria penyanyi yang diperlukan.

“Sebarang pertanyaan mengenai isu berbangkit (berhubung pengunduran Lan daripada Kristal) tidak boleh diulas sekarang. Kumpulan Kristal akan mengadakan sidang media khas bagi menjawab tuduhan Lan.

“Mereka juga akan umumkan butiran mengenai projek mencari pengganti Lan. Kriteria penyanyi yang diperlukan belum dapat didedahkan sehingga sidang akhbar berkenaan diadakan,” kata jurucakap syarikat pengurusan band itu kepada BH Online.

Jurucakap itu menambah, tarikh dan masa sidang akhbar itu akan dimaklumkan kepada media, tidak lama lagi.

Sebelum ini BH Online melaporkan, Lan yang sedang menyertai musim keempat program realiti, Gegar Vaganza (GV), mengumumkan mengundur diri daripada Kristal yang dianggotainya sejak 18 tahun lalu.

Lan membuat keputusan itu selepas terasa hati dengan tindakan anggota kumpulan itu yang dikatakan melakukan sesuatu tanpa berbincang dengannya terlebih dulu.

Lan mendakwa, anggota band itu tidak berbincang dengan dirinya mengenai banyak perkara dan selalunya dia menjadi orang terakhir yang mendapat tahu mengenai sesuatu.

“Apabila saya menyuarakan perancangan projek solo, saya dipersalahkan dan dituduh ‘tunggul’.

“Kalau saya tunggul, sudah 18 tahun saya menjadi tunggul dalam Kristal. Sebenarnya, projek solo itu bukanlah bererti saya mahu meninggalkan Kristal, malah ada juga anggota lain yang turut buat projek solo. Ini adalah projek sampingan bagi menampung saya dan keluarga, tetapi masih bersama Kristal.

“Apabila mereka menyuarakan untuk merehatkan saya, maka saya akan berehat dan tidak ada lagi perbincangan selepas ini,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.