Tak Perlu Sibuk Pelantikan Jessica, Patut Persoalkan Kehilangan RM30 Bilion

Semalam Kementerian Kewangan telah mengumumkan pelantikan Jessica Chew Cheng Lian sebagai timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuat 1 Januari 2018. Beliau akan menggantikan Sukudhew Singh yang bersara pada 31 Disember ini.

Namun malangnya ada penyokong pembangkang yang telah memutar belit mengenai pelantikan berkenaan dengan menyatakan Jessica dilantik ke jawatan tersebut disebabkan pilihan raya umum semakin dekat.

Mereka menggunakan hujah pelantikan beliau yang merupakan keturunan Cina, sengaja dibuat untuk menarik undi dari kaum Cina.

Alangkah dangkalnya tuduhan berkenaan sedangkan bukan Jessica seorang sahaja keturunan Cina yang pernah menjadi timbalan gabenor BNM.

Malah semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Lin See Yan (kini Tan Sri) telah dilantik sebagai timbalan gabenor.

Menghairankan apabila penyokong pembangkang lebih sibuk membicarakan mengenai pelantikan Jessica berbanding dengan kerugian besar yang dialami oleh BNM sebanyak RM30 bilion akibat urus niaga mata wang asing (Forex) pada awal 90-an.

Kenapa mereka membisu apabila kerugian itu didedahkan malah ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat mengenai kerugian berkenaan, kemana suara-suara pembangkang ini?

Sedangkan ketika panel RCI memanggil Mahathir untuk memberikan keterangan pada 17 September lalu, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memaklumkan kepada RCI bahawa beliau tidak mengetahui jumlah kerugian mata wang asing yang dialami negara pada tahun 1990 hingga 1994.

Malah kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, beliau tidak pernah diberikan sebarang dokumen bertulis dan hanya mengetahui mengenai jumlah kerugian urus niaga mata wang asing ketika ia dibentangkan di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Beberapa bulan selepas pembentangan di Parlimen, saya ada berjumpa dengan Anwar dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert di Pejabat Perdana Menteri, sekitar 1993.

“Bagaimanapun, saya tidak ingat angka RM30 bilion, saya hanya ingat RM5 bilion disebut. Malah, saya juga hanya dimaklumkan secara lisan,” demikian jawab Mahathir di hadapan panel RCI itu.

Jadi kepada penyokong pembangkang, kenapa anda membisu dan tidak mempersoalkan idola anda ini `tidak tahu’ dalam kes kerugian besar hingga melibatkan RM30 bilion.

Sebenarnya penyokong pembangkang bukan sepatutnya sibuk mengenai isu Jessica semata-mata, sebaliknya tengok la juga akan masalah dalaman yang dialami oleh PH ketika ini. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) misalnya, sehingga sekarang masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunannya.

Sepatutnya ia diadakan pada September lalu, tapi hingga kini parti itu masih belum mengadakannya. Inikah parti yang boleh diharapkan untuk memimpin negara. Isu dalaman pun belum selesai, sibuk nak mengambil alih Putrajaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.