Saya Pasrah, Reda – Elyana

KALA bertalu-talu mesej tanda simpati kepada empunya diri selepas dia mengumumkan penderitaan penyakit kanser limfoma yang ditanggung selama lima tahun, Allah menghadirkan penyanyi itu ketabahan dan kekuatan yang bukan calang-calang.

Ketika teman-teman rapat termasuk golongan artis dan wartawan menumpahkan air mata, Elyana kental berhadapan dengan maklum balas yang diterimanya sejurus berakhir perjalanannya dalam konsert Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada malam Ahad lalu.

Dari mata kasar, Elyana tidak memperlihat kemurungan, jauh sekali menitiskan air mata ketika mengumumkan kesakitan yang amat ditakuti sejumlah besar penghuni dunia.

Bahkan, selama lima minggu juga, ibu muda berusia 30 tahun itu beraksi penuh dinamik seolah-olah seperti orang yang sihat sehinggakan gurauan, ketawa dan keceriaan yang dipamerkan pada wajahnya membuatkan semua orang selesa dan menyayanginya.

Namun aturan Allah sudah begitu. Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal diuji dengan kanser limfoma atau kelenjar yang kini sudah memasuki tahap empat.

Ketika berita duka itu sampai pada telinganya, jangka hayatnya yang diramalkan bertahan sekadar selama setahun sahaja lagi untuk menghirup udara di bumi Allah ini.

Sekali lagi, aturan Allah mengatasi akal manusia.

Sejujurnya, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Tak Tercapai Akal itu tidak pernah menjangka dia diberi peluang untuk meneruskan hidupnya sehingga hari ini.

Lebih beruntung, ujar Elyana, dia diberi kesempatan untuk membahagiakan insan di sekelilingnya walaupun sedar masanya semakin singkat.

Kanser yang berada di dalam tubuhnya semakin merebak namun proses itu langsung tidak diendahkan menerusi riak wajah malah menerima takdir itu dengan berlapang dada, hati yang terbuka.

“Ini adalah bahagian saya yang Allah telah aturkan. Saya pasrah dan reda. Tipu kalau kata saya tidak pernah tertekan dengan keadaan ini. Tetapi saya perlu menerimanya dan tidak boleh terlalu memikirkannya. Sebab itu saya teruskan kehidupan seperti biasa.

“Rawatan demi rawatan telah saya lakukan. Itu usaha saya tetapi kesembuhan itu datangnya daripada Allah.

“Doktor juga sudah mencuba sebaik mungkin. Sudah berpuluh-puluh kali saya jalani rawatan kemoterapi. Sembuh itu tidak, cuma memperlahan rebakan kanser itu ke seluruh tubuh,” kata Elyana berkongsi khabar duka yang mengundang pilu dalam kalangan para peminatnya.

Memilih hari penyingkirannya untuk membuat pendedahan, Elyana berkata, dia bukanlah mahu meraih simpati masyarakat terhadap kisah hidupnya, jauh sekali untuk mencipta isu sensasi.

Menurut penyanyi Bagaikan Diriku Tapak Sulaiman itu, tindakannya pada malam tersebut dipengaruhi rasa bersalah terhadap peminat yang selama ini sentiasa memberikan sokongan terhadap karier nyanyiannya.

Katanya, tidak adil jika dia terus menyembunyikan hakikat tersebut kerana tanpa peminat, dia bukan siapa-siapa dalam industri muzik tempatan.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.