Puteri Aishah Tolak Kahwin Usia Muda

Wajahnya pernah mencuri tumpuan apabila sekeping gambar dirinya memakai tudung dengan tag nama Cikgu Aishah tular di laman sosial sekitar dua tahun lalu.

Pada waktu itu, dia sedang menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah rendah sebagai guru Bahasa Inggeris. Tuah ekoran penularan gambar tersebut telah mengubah kehidupan seorang wanita muda bernama Puteri Aishah apabila pintu rezekinya terbuka untuk terjun ke dunia lakonan.
Bagaimanapun, Aishah yang merupakan bekas peserta program Dewi Remaja 2014/2015 itu kurang menyerlah berbanding rakan-rakan seperjuangan seperti Raysha Rizrose dan Mawar Rashid.

Bukan tidak laku, sebaliknya gerakan karier anak kedua daripada empat beradik itu agak perlahan kerana jiwa kerap berperang dengan sejauh mana keyakinan diri untuk beraksi di hadapan kamera.

“Tawaran memang ada datang, cuma waktu itu saya belum bersedia untuk terus aktif dalam dunia lakonan. Malah, saya sering bergelut dengan perasaan kekok dan malu.

“Jadi, untuk membuang perasaan tersebut, saya mencabar diri dengan menyertai kelas lakonan untuk menajamkan kemahiran,” ujar anak kelahiran Johor itu ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Kembali memeriahkan industri hiburan, Puteri Aishah kini tampil dengan buah tangan terbaharu menerusi drama bertajuk Lelaki Itu Pemilik Hatiku bergandingan dengan pelakon Raja Afiq.

Bercerita lanjut tentang peranan dan keserasian untuk drama siaran slot Akasia TV3 itu, tidak banyak cabaran dihadapinya kerana mereka sudah mempunyai pengalaman bekerjasama sebelum ini.

“Kami pernah bekerjasama sebelum ini, jadi tidak susah untuk mencipta keserasian dalam lakonan. Cuma untuk melakonkan babak manja, ia sedikit kekok dan malu untuk dilakukan memandangkan kami berkawan baik.

“Apabila perlu berlakon manja, ia menimbulkan perasaan segan. Namun, alhamdulillah setakat ini respons penonton semuanya positif walaupun tetap ada komen yang mengatakan jalan ceritanya klise tak ubah seperti drama-drama lain,” kata pelakon berusia 23 tahun itu ceria.

Dugaan

Di sebalik graf karier yang bergerak perlahan, Puteri Aishah sebenarnya sedang bergelut dengan takdir hidup apabila ibu kesayangan disahkan menghidap penyakit kanser rahim tahap empat.

Sebagai anak, pemilik nama lengkap, Puteri Aishah Sulaiman itu mengambil tanggungjawab menjaga dan menguruskan segala keperluan ibunya memandangkan karier sebagai pelakon memberi ruang dan masa yang fleksibel untuk diluangkan bersama keluarga.

“Sewaktu mendapat tahu tentang penyakit ibu sekitar April lalu, memang kami adik-beradik sangat terkejut dan sukar untuk menerima kenyataan lebih-lebih lagi apabila ia sudah pada peringkat keempat.

“Namun, sebagai manusia, saya fikir ini adalah peluang terakhir untuk kami adik-beradik membuat pahala dan membalas jasa ibu yang telah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang.

“Sebenarnya sewaktu ibu sakit dan dirawat di hospital, saya sedang menjalani penggambaran drama Lelaki Hati Pemiliki Hatiku. Tidak terbeban tetapi agak sukar juga kerana cabarannya adalah dari segi masa sehingga kadangkala terpaksa bermalam di hospital.

“Bagaimanapun, itu adalah tanggungjawab saya sebagai anak memandangkan ibu bapa sudah berpisah dan kepada anak-anaklah tempat ibu bergantung harap,” tuturnya penuh makna.

Tidak sekadar tanggungjawab besar yang harus dipikul, pada masa sama pelakon itu juga terpaksa berdepan kontroversi meskipun ketika usia pembabitannya dalam industri baru setahun jagung.

Selain pernah menerima kritikan hebat peminat gara-gara tampil berpakaian seksi sekitar penghujung tahun lalu, namanya sekali lagi menjadi perbualan hangat netizen selepas dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan orang kenamaan, Pengerusi Eksekutif Naza World Group of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Menjelaskan perkara sebenar, dengan penuh berhati-hati, pelakon drama Raisha itu berkata, hubungannya dengan lelaki berusia 37 tahun tersebut tidak lebih daripada sekadar berkawan.

“Hubungan kami tidak lebih daripada itu (berkawan). Saya selesa berkawan dengannya sebab dia seorang lelaki yang menyenangkan.

“Perkenalan kami pun berlaku disebabkan saya berkawan rapat dengan sepupu Faisal. Pernah sekali saya dan rakan tersebut menghadiri sebuah majlis yang dianjurkannya. Dari situlah perkenalan kami bermula tetapi tidak ada apa yang istimewa,” jelasnya mengharap pengertian.

Matlamat

Tidak pernah terfikir untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda, kata pelakon drama Cinta Roller Coaster itu, masih banyak perkara yang mahu dikejarnya sebelum betul-betul bersedia berubah status menjadi isteri orang.

“Saya bukan seorang wanita yang suka meletakkan kebergantungan pada orang lain untuk mencapai kemahuan dalam hidup. Sebab itu saya tidak mahu berkahwin awal sebab misi saya sekarang adalah untuk membahagiakan keluarga terlebih dahulu,” katanya ringkas.

Ditanya tentang ciri-ciri lelaki idaman dan diusik dengan status lelaki yang akan memegang gelaran suaminya kelak, Aishah hanya ketawa kecil.

Tidak meletakkan sebarang syarat kepada mana-mana lelaki bujang atau duda untuk mendekati dirinya, namun antara ciri yang dititikberatkan Aishah adalah pembersih, wangi, bijak dan bertanggungjawab.

Enggan memikirkan soal cinta atau kahwin, matlamatnya kini adalah untuk mengukuhkan karier dan mengumpul aset sebagai bekalan masa hadapan.

“Saya masih muda, jadi waktu sebeginilah paling tepat untuk bekerja keras mengumpul wang demi mencapai sasaran. Kalau dahulu, saya mengaku sedikit boros dalam berbelanja.

“Namun, sekarang perlahan-lahan saya sudah belajar menguruskan wang kerana impian saya adalah untuk membeli rumah. Mungkin dalam dua tahun lagi saya akan berjaya membeli rumah pertama,” katanya seraya menamatkan perbualan.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.