PPBM Lulus Cepat, Kenapa PEKIRA Lambat Diluluskan ROS – Redzuan

PUTRAJAYA – Datuk Mohd. Redzuan Abdullah mempersoalkan sikap sambil lewa yang ditunjukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam meluluskan pendaftaran Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) sebagai parti politik.

Beliau yang merupakan presiden parti itu berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan pendaftaran kepada JPPM pada 7 Jun lepas.

“Sudah enam bulan berlalu, tetapi sehingga kini RoS tidak memberi sebarang maklum balas mengenai perkembangan mendaftarkan parti kami.

“Tindakan RoS ini nampak seolah-olah mereka tidak usik langsung permohonan kelulusan Pekira yang kami serahkan itu.

“Dulu permohonan parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad diproses dan diluluskan cepat, tetapi untuk Pekira mereka melengah-lengahkan proses kelulusan tanpa sebab, apa yang istimewa sangat dengan pembangkang,” katanya hari ini.

Beliau mendakwa RoS tidak seharusnya pilih kasih dalam perkara ini.

Terdahulu beliau bersama lebih 70 ahli Pekira dari seluruh negara berkumpul di hadapan pondok keselamatan RoS di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada wakil jabatan itu.

Katanya, memorandum tersebut diserahkan bagi menggesa agensi kerajaan itu menyegerakan proses kelulusan Perkira sebagai parti politik.

“Jika ada sebarang perubahan atau pembetulan yang perlu dilakukan pada perlembagaan atau struktur organisasi parti ini, sila maklumkan segera.

“Jangan terus mendiamkan diri tanpa sebarang respon kerana kami tidak dapat memahami apa-apa mengenai status parti kami,” ujar beliau.

Katanya, ditubuhkan untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat daripada aspek ekonomi selain menjunjung kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami tak faham kenapa pembangkang dilayan istimewa sehingga Pakatan Harapan juga dalam proses semakan tetapi bukan Pekira, adakah kata putus sebenarnya terletak di bawah Menteri KDN serta TPM, kami nak jawapan segera kerana kelulusan segera dapat permudahkan Pekira bersama ahli-ahlinya dapat bersiap sedia untuk PRU14.

“Kita tak nak disebabkan RoS melengah-lengahka masa, segala aktiviti dan sokongan kami kepada BN terjejas.

“Kami hendak respon RoS dalam tempoh dua minggu lagi, jika tidak perkara ini akan dirujuk kepada peguam kami untuk tindakan selanjutnya.

“Kami lebih berminat jumpa Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim memandangkan menteri sibuk ke arah pilihan raya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.