Pemuda Reka Motor Khas Redah Banjir

Seorang pemuda yang berfikiran jauh dan kreatif mencuri tumpuan ramai selepas mencipta sebuah motosikal khusus bagi mengharungi musim ‘bah’.

Difahamkan, ia mula menjadi tumpuan netizen selepas rakaman video dan gambar lelaki berkenaan sedang melakukan ‘pandu uji’ di satu lokasi banjir di Selising, Pasir puteh tersebar di laman sosial.

Sinar melaporkan, pencipta motosikal khusus itu, Amin Mohamed, 31, berkata kenderaan tersebut dihasilkan berdasarkan imaginasi dan kreativitinya yang dirancang sejak awal tahun ini.

Lebih menarik, Amin menjelaskan dia hanya menggunakan modal sebanyak RM500 untuk menyiapkan motosikal tersebut, selain menggunakan bahan-bahan terpakai dan enjin Honda C70.

Motosikal itu juga menggunakan satu tayar motor dan dua tayar kereta di belakang yang mampu meredah banjir sedalam satu meter, lapor portal tersebut.

“Saya buat lakaran reka cipta motosikal ini atas kertas Januari lalu dan mula membuatnya sedikit demi sedikit pada waktu terluang.

“Saya hanya guna bahan terbuang dan bahan sedia ada kerana saya perlu elak kos tinggi. Ciptaan ini bukan untuk meraih keuntungan, hanya untuk kepuasan diri,” katanya, yang merupakan seorang pengusaha dan pembekal barangan aluminium dan cermin di Kampung Bukit Tanah, Selising.

Tambah Amin, kenderaan tersebut masih memerlukan penambaikan bagi membolehkan ia mampu mengharungi air yang lebih dalam.

“Kalau ikutkan, motosikal ini belum siap sepenuhnya tapi saya tak sabar untuk mengujinya bila beberapa kawasan di Selising ini dilanda banjir semalam (kelmarin),” katanya.

Tidak hanya untuk mengharungi banjir, kenderaan yang dicipka khas oleh Amin itu juga mampu digunakan untuk aktiviti lasak lain yang bersesuaian dengan semua jenis permukaan jalan.

“Saya akan pasang beberapa aksesori selepas ini untuk mencantikkan lagi ciptaan saya serta menambah fungsi sampingan yang difikirkan perlu,” katanya yang tidak menyangka ramai yang datang ke rumahnya untuk melihat sendiri kenderaan tersebut selepas videonya tular.

Awal tahun ini, rakaman video seorang pemuda menunggang motosikal “selam” bersama kakaknya ketika meredah banjir di Besut, Terengganu turut menarik perhatian netizen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.