Pasangan Berbeza Usia Perlu Bertolak Ansur – Che Ta

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan, 44, menyifatkan kebanyakan wanita yang lebih berusia daripada pasangan masing-masing tidak dapat mengelak daripada berdepan cabaran perbezaan pendapat dalam melayari alam perkahwinan.

Berdasarkan pengalamannya sendiri mendirikan rumah tangga bersama aktor, Zain Saidin, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta menasihatkan pasangan Fattah Amin, 27, dan Fazura, 34, perlu bijak dalam bertolak-ansur agar kedua-duanya dapat mengelakkan perselisihan faham.

“Setiap pasangan adalah berbeza. Macam saya dan Zain, jarak usia kami adalah 12 tahun. Saya fikir lain, dia pula berfikiran lain.

“Apabila bersuamikan lelaki muda, kita perlu berkorban kerana kita lebih tua. Fazura perlu lebih banyak reda dan saling bertolak ansur kerana cara pandangan kita dan dia (lelaki) berbeza.

“Maksud saya, suami ada kala mungkin akan bersikap kebudak-budakan atau tidak cukup matang. Kadang-kadang, kita jangka dia akan buat perkara ini, tetapi dia buat lain. Apa-apapun terpulang pada diri masing-masing,” katanya kepada BH Online sewaktu ditemui pada Expo Negaraku di Dataran Merdeka.

PELAKON, Rozita Che Wan ketika melawat Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka, semalam. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Rozita berkata demikian ketika diminta berkongsi pandangan dan pengalamannya sebagai isteri yang lebih berusia daripada suaminya, selain menyalurkan sedikit petua buat Fattah dan Fazura yang baru saja mendirikan rumah tangga, semalam.

Rozita berkata, jarak usia yang agak jauh bukan masalah selagi suami dan isteri mengamalkan sikap toleransi. Beliau sendiri melalui proses pembelajaran berumah tangga sepanjang empat tahun berkahwin.

“Kita tidak boleh menjangkakan apa yang dia fikir apabila berkahwin dengan lelaki muda. Kita juga tidak boleh beranggapan apa yang ada di mindanya sama dengan pemikiran kita.

“Contohnya, berkaitan anak. Dia mahu anak ramai, tetapi saya pula berfikiran, satu pun sudah cukup kerana saya mahu kualiti. Dengan cara itu, saya mampu menyediakan sekolah yang terbaik, selain serba serbi yang cukup, berbanding dengan kuantiti,” tuturnya.

Rozita dan Zain mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana, yang kini berusia tiga tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.