Dua Remaja Didakwa Di Mahkamah Kes Baling Bom Petrol Ke Arah Surau

PETALING JAYA – Dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dengan api sehingga membinasakan sebuah surau di Damansara Damai, dua minggu lalu.

D Tibanraj dan R Darshan, masing-masing berusia 19 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tibanraj dan Darshan didakwa melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebinasaan ke atas Surau Al-Huda Apartment Impian Damansara Damai, di sini, jam 6.10 pagi, pada 19 November lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Tibanraj dan Darshan yang diwakili peguam bela Melvinder Singh, dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan ketika kejadian berlaku kedua-dua mereka berada dalam keadaan mabuk.

Mahkamah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.