Tiada Pelaburan Luar Dikatakan Gagal, Bawa Masuk Pelaburan Dituduh Gadai Negara – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan tindakan segelintir pihak yang sering kali mencari pelbagai alasan untuk mengecam beliau termasuk usahanya mencari pelaburan asing.

 

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, usaha beliau untuk meningkatkan ekonomi negara dengan membawa pelabur asing ke Malaysia turut dikecam dan dilabel sebagai cuba menggadai negara.

 

“Kalau kita tak bawa masuk pelaburan dia kata kita gagal, tapi kalau kita bawa masuk pelaburan dia kata kita menggadaikan negara. Ini mainan politik.

 

“Bila masa bawa masuk pelaburan jadi soal kedaulatan? Selama ini tak timbul apa? Apa beza pelaburan dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan dari China?” katanya pada program Soal Jawab Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.

 

Rancangan yang bersiaran selama sejam itu diperantarakan oleh Hamdan Ahmir dan disertai Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan pengacara RTM, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan pelaburan asing di negara ini adalah mengikut kandungan tempatan seperti ditetapkan dasar kerajaan.

 

“Janganlah termakan dengan dakyah seperti itu (menuduh pelaburan asing sebagai menggadai negara) sebab dakyah tersebut tak masuk dalam aliran pemikiran yang rasional,” katanya.

 

Ditanya mengenai Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dikritik sebagai mahal, Najib menafikannya dan menyifatkan projek bernilai RM55 bilion itu unik daripada segi topografi atau muka bumi.

 

Menurut Najib, kerajaan akan membuat penanda aras dan penilaian berdasarkan projek di tempat lain serta penilaian pengurusan agar ECRL itu mempunyai nilai untuk wang.

 

Katanya, pakej projek yang menarik termasuk pembiayaan Exim Bank of China dengan terma yang menarik menjadikan ECRL projek yang mampu merangsang ekonomi negeri-negeri pantai timur sehingga 1.5 peratus.

 

Najib berkata, pelaksanaan ECRL itu juga dapat mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan pantai barat dan pantai timur.

 

Pembinaan ECRL sepanjang 600 kilometer diumumkan Najib sewaktu membentangkan Bajet 2017 bulan lalu, dan akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.