Pemuda UMNO Tidak Halang GAMIS Serah Memorandum – Armand

Kuala Lumpur – Dakwaan kononnya ahli Pergerakan Pemuda UMNO menghalang sekumpulan 50 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menggelar diri mereka Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) menyerahkan memorandum mengenai pencerobohan tanah warisan Melayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah tidak benar dan tidak tepat.

Sebaliknya, kata Exco pergerakan itu Arman Azha Abu Hanifah, beliau telah dilantik sebagai wakil untuk menerima memorandum tersebut dalam satu perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO.

Bagaimanapun, kata Arman, kumpulan mahasiswa terbabit yang turut disertai beberapa penduduk Kampung Chubadak, Sentul, enggan menyerahkan memorandum itu kepada beliau, sebaliknya bertegas mahu Perdana Menteri sendiri turun menerimanya.

Ekoran keengganan kumpulan mahasiswa terbabit yang beliau sifatkan sebagai alat dan boneka politik parti pembangkang, perbincangan diadakan dalam keadaan yang agak tegang.

Arman berkata, beliau kesal dengan sikap biadap beberapa mahasiswa dalam kumpulan itu yang memaki kumpulan Pemuda UMNO yang datang untuk menerima memorandum mereka.

“Saya datang sebab menghormati mahasiswa tetapi saya lebih pentingkan penduduk.

“Selepas berbincang dengan penduduk, mereka bersetuju untuk menyerahkan memorandum kepada saya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau turut memaklumkan memorandum itu telah diserahkan kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang turut berada di situ berkata mahasiswa terbabit hanya hadir untuk membuat kacau dan bukan ikhlas menghantar memorandum.

“Kita sesama Islam tidak mahu bergaduh tetapi mereka panggil kita barua.

“Penduduk kampung Chubadak boleh bersalam dan berpelukan dengan kami tetapi Ketua GAMIS bila saya hulur tangan dia angkat tangan,” katanya kecewa.

50 ahli GAMIS diketuai pengerusinya, Abdul Malik Abdul Razak dan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Khairul Najib Hashim berhimpun dan berarak dari Masjid Pekeliling ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

Sebuah portal berita online melaporkan anggota polis yang berkawal melencongkan kumpulan itu ke Wisma MIC sebelum disambut sekumpulan ahli Pemuda UMNO yang menyekat mereka daripada bertemu Najib.

Bagaimanapun laman blog MyMassa memaparkan insiden itu berakhir secara baik dengan kedua-dua pihak bersalam dan berpelukan sebelum sama-sama membaca doa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.