#PAU2014: Orang Muda Jangan Jadi Macam Beruk Dalam UMNO – Kamal Saidin

KUALA LUMPUR – Kisah antara ‘beruk’ dan ‘penjaganya’ yang disampaikan oleh wakil UMNO Negeri Kedah, Mohd Kamal Saidin dalam usul perbahasannya dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 memberikan makna mendalam kepada setiap ahli UMNO.

Dari penceritaan Kamal, beliau menyampaikan mesej di mana sukar untuk mencari pengganti pemimpin terbaik dalam UMNO serta pemimpin sekarang ini dicaci hanya disebabkan kerja yang kurang memberangsangkan yang dilakukan oleh orang bawahan.

Akibat dari itu, pemimpin negara pula yang terpaksa menerima segala cacian dan tohmahan dari rakyat kerana kesilapan orang lain.

“Nak cari seorang pemimpin yang sayangkan orang Melayu dah tak ada dah. Ibarat macam tuan beruk sayangkan dekat beruk. Kalau tuannya bawa bini naik motor, bini duduk belakang, beruk duduk depan nu.

“Nak habaq kata betapa sayangnya tuannya kepada beruk. Tapi perangai beruk ini dia bukan tahu duduk diam.

“Dia raba sana, dia pulas sini, dia usik sana. Dia bukan tahu duduk. Sat dia tengok, dia renyeh tuan dia. Last sekali dia tak tahu yang dia tengah dok raba suis dok depan tu.

“Raba punya raba mai kalu dah tutup suis, motor mati dalam gear, (jatuh) pecah kepala ohh… Sekali dengan beruk pun pecah kepala,” katanya sehingga menyebabkan ramai perwakilan Perhimpunan Agung UMNO ke-68 ketawa besar.

Menurut Kamal, berdasarkan kisah tersebut, orang Melayu seharusnya sedar bahawa mereka tidak boleh bersikap seumpama beruk sehingga sanggup membuat apa sahaja tanpa mengira kesan yang akan menimpa kepada tuan atau pemimpin mereka.

Katanya, sikap sedemikian juga boleh menyebabkan parti, bangsa dan negara hancur.

“UMNO nak diremajakan jangan ikut perangai buruk. Jangan amalkan perangai beruk yang tidak tahu nilai penjaganya. Jangan biarkan pemimpin ‘mati’ kerana rakyat akan hancur.

“Haram bagi kamu mencaci maki mereka. Halal bagi kamu taat. Taat kepada kepimpinan negara,” kata Kamal.

Untuk itu, Kamal bersetuju dan menyokong atas usul Presiden UMNO, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang mengekalkan Akta Hasutan 1948.

“Jangan bersengketa. Apabila negara dijajah semula, rakyat menderita dan sengsara. Inilah Akta Hasutan harta keamanan negara nak dikekalkan.

“Bagaimana umat Islam di Palestin, Libya yang semuanya adalah agenda Yahudi. Jadi, kita kekalkan keamanan negara dan tentang siapa sahaja yang menodai keamanan negara ini,” tambahnya.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.