‘Meraikan Cinta Belia 2014’ : 40 Pasangan Nikah Serentak

Pandan – Seramai 40 pasangan dinikah dan diraikan dalam Majlis Akad Nikah Perdana dan Program Kahwin Perdana Peringkat PBT Negeri Selangor 2014 buat julung kalinya diadakan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, semalam.

Majlis akad nikah itu yang bertemakan ‘Meraikan Cinta Belia 2014′ bermula jam 9 malam dan diketuai oleh Nazir masjid, Mohd. Azmi Annuar yang turut menjadi saksi kepada pasangan pengantin tersebut.

Seramai 19 pasangan daripada empat kawasan pihak berkuasa tempatan di Selangor manakala 21 pasangan lain menjadi jemputan istimewa pada majlis akad nikah itu.

Semua pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah bertauliah sambil disaksikan oleh keluarga masing-masing.

Majlis anjuran pengurusan Masjid Al-Azim dan badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Prihatin Pandan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pimpinan Hulu Langat, itu bertujuan menyemai keinginan golongan muda untuk berkahwin awal.

Setiap pasangan yang menyertai program itu hanya perlu membayar RM1,000.

Bayaran itu bagi membiayai pakej penginapan hotel, sesi fotografi, jamuan makan dan kursus kahwin bagi setiap pasangan manakala hari ini pula mereka diraikan dalam majlis resepsi yang diadakan hari ini dengan penuh istimewa.

Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan peruntukan RM40,000 bagi menaja perkahwinan beramai-ramai ini.

Mohd. Azmi berkata, kesemua pasangan ini datangnya dari empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Sementara itu menceritakan detik pertemuan mereka, pasangan pengantin Mohd. Zain Hussin, 43, dan Rodziah Manan, 30, sepakat memberitahu tersilap membuat panggilan telefon bukanlah impian bertemu jodoh yang diidam-idamkan, namun tidak menyangka kesilapan itu membolehkan mereka bertemu pasangan hidup.

“Kami berkenalan sepuluh tahun yang lalu. Sebenarnya saya nak telefon orang lain tetapi kemudiannya tersilap menelefon Rodziah.

“Selepas berkenalan, asalnya saya layan isteri saya seperti adik angkat memandangkan usia kami agak jauh dan lama-kelamaan hubungan kami semakin akrab dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Martinawati Robani, 23, berkata, dia terharu dan gembira kerana berjaya menempuh alam baru dalam kehidupannya.

Menurutnya, dia berasal dari Indonesia dan mula berkenalan rapat dengan suaminya, Salleh Fuddin Mohd. Yusoff, 26, sejak dua tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Saya gembira dengan pernikahan ini dan tidak sangka bertemu jodoh di sini. Saya berharap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik,” katanya.

Berkongsi saat perkenalan dengan suaminya itu, Martinawati memberitahu bahawa mereka berkenalan melalui internet.

“Saya tidak sangka perkenalan suka sama suka dalam alam siber boleh mendapat pasangan. Bukan sekadar teman di kala sunyi malah teman sehidup dan semati.

“Kami berkenalan di Internet melalui aplikasi Badoo. Selepas tiga bulan kami berhubung di alam maya akhirnya bersetuju untuk bersua muka di sebuah restoran di Kuala Lumpur,” katanya.

Jelasnya, mencari jodoh di alam siber bukan lagi perkara baru kerana trend ini sudahpun diterima ramai memandangkan teknologi hari ini sudah boleh menyelesaikan banyak masalah di hujung jari termasuk urusan mencari jodoh.

“Kita cuma perlu memperkenalkan diri tanpa rasa malu kerana ada yang sedang mencari cinta di Internet.

“Keberanian dan kejujuran perlu ada. Andai kedua-duanya ada, maka usaha itu pastinya membuahkan hasil,” katanya.

Bagi pasangan Mohd. Fauzi Ahmad, 29, dan Nooranis Hanim Mohd. Kolaimi, 22, turut gembira kerana dapat menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai secara percuma.

Mohd. Fauzi berkata, mereka berkenalan di padang kawad lima tahun lalu sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.

“Kali pertama kami bertemu di padang kawat. Ketika itu, saya berkhidmat sebagai salah seorang jurulatih kawad kaki kepada pasukan beruniform di Sekolah Menengah Kebangsaan Putri Titiwangsa.

“Secara kebetulan kami ke Putrajaya untuk menghadiri jambori badan beruniform. Saya minta nombor telefon isteri dari adiknya dan selepas berkawan perasaan ini semakin terpaut hinggalah ke satu tahap di mana akhirnya kami memutuskan untuk berkahwin.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.