Kerajaan Negeri Sembilan Bincang Dengan Peguam Sebelum Kemukakan Rayuan

Seremban – Kerajaan Negeri Sembilan masih lagi berbincang dengan peguam sebelum mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah negeri itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata kerajaan negeri sedang meneliti perkara itu daripada segenap segi sebelum memfailkan rayuan yang dijangka akan dibuat sebelum 6 Disember ini.

“Kita mahu memfailkan satu kes yang kuat,” katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Menurut Mohamad, rayuan itu nanti akan menyentuh dua aspek iaitu rayuan terhadap hukuman yang dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dan kedua, kedudukan peruntukan dalam enakmen tersebut yang diisytiharkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 7 November membenarkan rayuan tiga jurumekap pengantin yang mencabar kesahihan peruntukan enakmen itu dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Tiga jurumekap itu, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, itu didakwa di bawah enakmen berkenaan kerana berpakaian wanita di tempat awam.

Mereka berhujah enakmen itu tidak memberi pengecualian kepada mereka yang disahkan oleh pakar perubatan sebagai mengalami kecelaruan identiti gender.

Hujah mereka dalam rayuan itu tidak dibantah oleh peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Ketua Pegawai Penguatkuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus memutuskan seksyen itu bertentangan dengan Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi dua perkara yang kita akan merayu ialah mengenai keputusan hukuman itu dan jika tidak ditangani dengan baik, ia akan membawa satu keadaan yang akan terjadi sesuatu yang amat tidak baik kepada kesucian agama Islam di negara.

“Bagi Seksyen 66, kita akan pastikan ia tidak dibatalkan seperti mana yang diputuskan dalam penghakiman rayuan itu,” kata Mohamad kepada Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.