Kembalikan Jawatan Menteri Sumber Manusia Kepada UMNO – Perwakilan Pemuda

Kuala Lumpur – Jawatan Menteri Sumber Manusia perlu dikembalikan kepada wakil UMNO daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memastikan nasib pekerja kaum itu dan juga bumiputera terbela.

Perwakilan Pemuda UMNO, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata demikian ketika membahaskan berkenaan diskriminasi sektor swasta terhadap orang Melayu.

Malah menurut beliau, gaji yang diterima orang Melayu dan juga bumiputera dalam sektor swasta didapati jauh lebih rendah daripada yang diterima kaum Cina.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya sikap pihak swasta dan sektor korporat yang tidak menyumbang ke arah keseimbangan strata sosio ekonomi masyarakat kita.

“Malah kalau boleh saya cadangkan, mungkin sudah tiba masanya jawatan Menteri Sumber Manusia dikembalikan kepada wakil UMNO dengan harapan agenda Melayu dapat diperjuangkan secara lebih jelas dan nyata di dalam sektor perjawatan ini,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi ucapan dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa diskriminasi ini terbukti berdasarkan kajian akademik yang dijalankan oleh Lee Hwok Aun dan Dr Muhammad Abdul Khalid pada tahun 2012.

“Sektor swasta tidak pernah cuba membantu atau mengambil peduli isu ketidak seimbangan kaum dalam sektor korporat dan ini dibuktikan dalam kajian yang dijalankan pada 2012.

“Manakala pada tahun 2005, Chr. Michelsen Institute mendapati bahawa bayaran kepada bumiputera yang mempunyai jawatan, kelayakan akademik dan pengalaman yang sama dalam sesuatu industri adalah 32 peratus lebih rendah daripada kaum Cina,” luahnya lagi.

Jawatan Menteri Sumber Manusia dipegang oleh Datuk Richard Riot Anak Jaem yang bertanggungawab menguruskan dan membangunkan sumber tenaga pekerja di negara.

Richard juga merupakan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.