Jerman benarkan BlackBerry beli Secusmart

CANSELOR Jerman, Angela Dorothea Merkel memegang telefon pintar BlackBerry Z10 yang memaparkan keselamatan yang tinggi dari perisian Secusite, di booth pameran Secusmart semasa lawatan pembukaannya di pameran komputer CeBIT di Hanover, baru-baru ini. – Foto REUTERS

BERLIN: Jerman meluluskan rancangan pengeluar telefon pintar Kanada, BlackBerry untuk membeli Secusmart, pemilik teknologi enkripsi yang turut digunakan untuk melindungi peranti mudah alih tokoh politik negara itu termasuk Canselor Angela Merkel.

Janji niaga itu adalah sebahagian usaha Ketua Pegawai Eksekutif, John Chen untuk mempertingkatkan daya saing BlackBerry dalam aspek keselamatan terutama bagi pelanggan daripada kalangan jabatan kerajaan dan korporat.

Ia juga sebahagian langkah BlackBerry meningkatkan pertaruhannya dalam saingan dengan iPhone keluaran Apple dan peranti yang menggunakan sistem operasi percuma keluaran Google, Android.

Kerajaan Jerman pada Julai lalu mengumumkan akan menilai sama ada pembelian Secusmart, sebuah syarikat persendirian berpangkalan di Duesseldorf, mungkin memberi ancaman kepada keselamatan negara itu.

Isu itu sangat sensitif kepada Jerman terutama dengan mengambil kira pendedahan sebelum ini bahawa agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) mencuri dengar perbualan telefon Merkel daripada telefon tanpa enkripsi.

Enkripsi adalah sejenis kod virus yang menggunakan algoritma penyulitan dan penyahsulitan. Setiap kali kod ini menjangkiti suatu atur cara, kod itu secara automatik akan mengekod dirinya secara berlainan. Justeru, kod itu sentiasa tidak sama dengan kod sebelumnya supaya tidak dapat dikesan oleh perisian antivirus.

Merkel dan anggota Kabinet negara itu menggunakan peranti mudah alih BlackBerry yang menggunakan enkripsi Secusmart.

“Kerajaan Jerman sudah menilai rancangan pembelian Secusmart oleh BlackBerry dan mengambil keputusan untuk meluluskannya,” kata jurucakap kementerian perdagangan negara itu hari ini, tetapi tidak menyatakan syarat untuk kelulusan itu diberikan.

Mengikut laporan media, Jerman mensyaratkan supaya Pegawai Keselamatan Maklumat (BSI) diberikan akses tertentu dan hak kawalan berkaitan kod yang digunakan dalam sistem operasi BlackBerry.

BlackBerry juga dikatakan memberi jaminan maklumat sulit Jerman tidak akan disalurkan kepada agensi perisikan asing. – Reuters

-BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.