Hatrik Vela beri Moyes kemenangan pertama La Liga

PENYERANG Real Sociedad, Carlos Vela merembat lalu membolosi gawang Elche dalam saingan La Liga, awal pagi tadi. – Foto EPA

MADRID: David Moyes mencatatkan kemenangan pertama sebagai jurulatih Real Sociedad apabila Carlos Vela menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-0 di tempat sendiri menentang Elche dalam saingan La Liga awal pagi tadi.

Moyes mengambil alih pasukan Basque ketika ia menghuni tempat ke-15 dan kemenangan awal pagi tadi yang menyusul keputusan seri 0-0 minggu lalu di Deportivo La Coruna, mengangkat pasukan itu ke tangga ke-12 dengan 13 mata daripada 13 perlawanan.

Vela membuka jaringan di Anoeta dengan tandukan pada minit ketiga dan menjadikan ia 2-0 apabila ia mengejar lorongan Xabi Prieto untuk merembat masuk ke penjuru gawang lawan pada minit ke-31.

Penyerang Mexico itu melengkapkan hatrik lapan minit selepas rehat dengan penyudahan cantik yang masuk selepas terkena tiang gol.

Elche, pada kedudukan kedua tercorot, kelihatan hambar dan kemungkinan besar akan bertungkus lumus untuk kekal di liga utama.

Pendahulu liga, Real Madrid boleh menjarakkan kedudukan sebanyak lima mata dengan Barcelona yang menentang Valencia esok jika menang di Malaga hari ini. -BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.