Katanya, selepas mengharungi aksi persahabatan yang hambar, selain gagal mencatat kemenangan dalam kempen Piala AFF, Malaysia pastinya terdesak untuk me­lakukan kebangkitan.

Pengendali dari Jerman berusia 66 tahun itu berkata, pasukannya harus berwaspada dengan kejutan yang bakal ditampilkan Harimau Malaya.

Enggan mengambil sikap terlalu yakin, Stange yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan Belarus juga menambah, pasukan kendalian Dollah Salleh pasti mahu mencalar maruah Singapura di hadapan 55,000 penyokong sendiri.

“Pertembungan esok (hari ini) penting buat kedua-dua pasukan dan saya juga menghormati kemampuan Malaysia.

“Apa yang boleh saya katakan, Malaysia ibarat haiwan liar yang terluka selepas sering kalah dalam aksi persahabatan dan gagal menyerlah dalam kejohanan ini.

“Mereka pasti mahu bangkit dan situasi itu boleh membahayakan kami dalam perlawanan esok. Saya sama sekali tidak akan ambil mudah,” kata Stange.

Dalam masa sama, Stange mendedahkan tiada sebarang rahsia antara kedua-dua pasukan menjelang pertembungan malam ini kerana ma­sing-masing sudah masak dengan kekuatan, kelemahan serta strategi yang akan digunakan.

Dia juga mendedahkan selalu meluangkan masa menonton aksi pasukan dari Liga Malaysia tiap kali bertandang ke Stadium Jalan Besar, selain mendapatkan maklumat terkini daripada para pembantunya me­ngenai pasukan negara.

“Saya sudah menyaksikan banyak aksi pemain Malaysia di Jalan Besar jadi saya sudah tahu serba sedikit mengenai mereka.

“Dalam masa sama, beberapa jurulatih saya seperti Aide Iskandar dan Fandi Ahmad sentiasa memberikan maklumat,” katanya.

Singapura yang memulakan Piala AFF dengan kekalahan 1-2 kepada Thailand, mencatat kemenangan pertama 4-2 ke atas Myanmar kelmarin.

Namun kejayaan tiga mata itu dibayar dengan harga mahal ekoran Shahdan Sulaiman patah buku lali, sementara Baihakki Khaizan, digantung satu perlawanan. – UTUSAN