KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan institusi pendidikan di bawah KPM yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November 2021.

KPM menjelaskan keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

“Pengoperasian institusi pendidikan bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran di buat mengikut kumpulan bagi negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Manakala bagi negeri Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula pada 8 November 2021,” jelas KPM dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut KPM, pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM.

“Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,”

Bagi institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa seperti di Lampiran 1 dan 2, pengoperasian kekal secara penggiliran.

Walau bagaimanapun, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.