Zuraida Gesa Henti Sindrom Penafian PKR Ada Masalah

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan PKR diminta bangun daripada sindrom penafian dan perlu memandang serius kemungkinan wujud unsur sabotaj pada Pemilihan PKR 2018 Cabang Kuala Selangor, semalam.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata isu berkenaan memerlukan penyelesaian segera secara tuntas.

“Insiden itu boleh merosakkan keseluruhan sistem kerana sabotaj yang berlaku menyebabkan proses pemilihan jawatankuasa semakin kritikal.

“Terlalu banyak isu timbul seperti ‘kehilangan’ undi, pengurusan proses pemilihan tidak teratur, unsur rasuah dan penemuan ‘jammer’ di lokasi pemilihan Kuala Selangor semalam.

“Pemilihan di Negeri Sembilan dan Melaka juga perlu dibuat semula.

“Saya tidak dapat bayangkan apa yang berlaku pada proses pemilihan di Sabah dan Sarawak kelak kerana difahamkan undian akan dibuat secara ‘offline’,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penangguhan Pemilihan PKR 2018 Cabang Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam, selepas sistem e-undi tidak dapat dilaksanakan susulan tiada capaian internet.

Zuraida yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR, turut mendakwa gejala politik wang berlaku dalam pemilihan parti dan perlu ditangani secara proaktif.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR kata tidak terima laporan rasmi berhubung kes terbabit sedangkan media sudah melaporkan manakala SPRM turut melakukan penahanan.

“Sekarang PKR dah macam kerajaan BN (Barisan Nasional) dulu, kena tunggu laporan baru nak siasat.

“Jawatankuasa kena bertanggungjawab menyiasat dan menyelesaikannya,” katanya.

Sebelum ini, JPP PKR dilaporkan tidak menerima laporan rasmi berhubung politik wang dalam pemilihan parti itu seperti didakwa calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.