Walau Tak Dapat Menyanyi, Zamani Tetap Legend!

SHAH ALAM – Konsert Gegar Vaganza 5 pada minggu ini nyata mencetuskan suasana penuh emosi buat peminat Zamani.

Zamani yang sepatutnya menyampaikan lagu “Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta” dendangan asal Flybaits, tidak dapat meneruskan nyanyiannya ketika berada di pentas.

Penyanyi kumpulan Slam itu kelihatan tertunduk dan begitu sedih, sebelum penonton di auditorium kemudian sama-sama menyanyikan lagu tersebut.

Juri, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk AC Mizal juga berdiri dan menyanyi bersama penonton untuk memberi sokongan kepada Zamani.

Malah hos rancangan, Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut menemani Zamani di atas pentas dan menyanyi bersama sehingga lagu tamat.

“Zamani sebenarnya tidak sihat. Dari semalam dia hilang suara,” kata Jihan.

Dalam komen mereka, Khatijah dan AC memuji Zamani kerana tetap memberi komitmen sungguhpun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Mereka turut menyifatkan penyanyi itu merupakan seorang legenda yang tetap menghiburkan peminat sekalipun dalam keadaan sedemikian.

Penaja utama Gegar Vaganza 5, iaitu pengasas produk D’Herbs, Datuk Alif Syukri mengambil keputusan untuk menggunakan imuniti yang diberikan kepadanya untuk ‘menyelamatkan’ Zamani.

Sementara itu, laman sosial malam ini dibanjiri dengan komen-komen netizen yang memberi kata-kata semangat buat Zamani. Mereka turut mendoakan agar kesihatan Zamani pulih segera.

Pada ketika ramai yang tertanya-tanya dengan nasib Zamani di konsert itu, Nabil dan Jihan pada akhir rancangan mengumumkan beliau layak untuk mara ke konsert minggu hadapan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.