Tak Mustahil Pakatan Malaysia Wujud Antara Pembangkang & PKR – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil semua parti pembangkang yang ada kini akan memmbuat kerjasama dengan PKR dan bergabung menjadi Pakatan Malaysia dan akhirnya menguburkan Pakatan Harapan, demikian kata Naib Presiden UMNO Datuk Mohamed Khaled Nordin dalam warkahnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pertumbuhan parti pembangkang dalam negara kini berupaya untuk melemahkan Pakatan Harapan dan akhirnya merugikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Dalam keghairahan Bersatu merai kemenangan PH, mereka lupa bahawa, telah wujud satu sistem politik yang bukan lagi berdasarkan pertembungan di antara dua gabungan politik yang besar.

“Malaysia waktu ini akan dicorakkan oleh ‘one political coalition against a myriad of political parties’. Maknanya, semua parti politik mempunyai pengaruh dan kepentingan strategik sendiri dalam pembentukan kerajaan..

“Yang pastinya, UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS di Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupayanya memberi tentangan hebat kepada PH.

“Tidak mustahil, untuk kesemua parti ini bergabung bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menubuhkan sebuah gabungan baharu ‘Pakatan Malaysia’, bukan lagi ‘Pakatan Harapan’,” tulisnya.

UMNO tambahnya tidak akan lemah malah masih mempunyai pengaruh dan sokongan di kawasan-kawasan tertentu yang masih dilihat parti yang mampu menjaga kepentingan Melayu.

“UMNO terus dirujuk dan diingati sebagai gerakan politik yang konsisten dalam jasa baktinya untuk kebaikan orang Melayu, tanpa mengabaikan kepentingan orang-orang lain.

“Atas dasar ini, UMNO akan melakukan segala sehabis baik untuk melonjakkan pengaruhnya. Apatah lagi Bersatu kini, yang sangat bergantung pada ihsan DAP, PAN dan PKR, masih tidak jelas tentang bagaimana untuk ia mengepalai orang Melayu,” jelasnya yang juga menyifatkan PPBM jauh berbeza daripada UMNO yang ditubuhkan dengan fokus yang jelas.

Sehubungan itu UMNO tidak akan musnah, dan tidak ada pergerakan secara besar-besaran wakil rakyatnya meninggalkan parti itu sebaliknya PPBM menurut Khaled secara konsisten mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan penyertaan Ahli Parlimen daripada UMNO yang jelas membuktikan parti itu goyak kedudukannya.

“Setakat waktu dan saat ini, tidak ada gerakan secara besar-besaran meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.

“Malah Bersatu yang terus-terusan mengeluarkan pelbagai kenyataan, bahawa pintunya masih terbuka luas kepada ahli-ahli UMNO untuk menyertainya.

“Amatlah jelas, Bersatu sangat memerlukan segala sokongan yang ada kerana kedudukannya begitu rapuh di dalam perikatan politik nasional ketika ini.

Dengan dipimpin oleh negarawan yang sudah lanjut usia, dengan jumlah kerusi yang sangat sedikit, dan barisan kabinet amatur yang amat tidak menyerlah, Bersatu masih belum berjaya meyakinkan orang Melayu. Bersatu masih tidak dapat menyatupadukan orang Melayu.,” katanya dalam tulisan warkah itu. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.