Rafizi Pertahan Ahli Parlimen PKR Didakwa Beri Rasuah RM500 Kepada Pengundi

AMPANG – Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli semalam mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan memberikan bantuan RM500 dalam bentuk cek kepada seorang wanita.

Rafizi berkata dakwaan bahawa calon naib presiden PKR itu menawarkan “rasuah” RM500 kepada wanita terbabit, yang juga merupakan ahli PKR, adalah dirancang.

“Ada seorang yang bertanding jawatan di cabang, seorang ibu datang berjumpa beliau (Kesavan) merayu minta bantuan kerana anak dia kanser, dia miskin dan sebagainya.

“Kesavan keluarkan cek pusat khidmat. Sesiapa yang waras, kalau mahu membeli undi, anda tidak akan keluarkan cek pusat khidmat bukan? Tapi tidak semena-mena dia (wanita terbabit) pergi buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemilihan parti itu di Pandan di sini, semalam.

Rafizi mengulas laporan polis dibuat seorang ahli PKR cabang Sungai Siput, Rohaida Awang yang mendakwa Kesavan menawarkan rasuah kepadanya agar mengundi beliau pada pemilihan parti itu.

Rohaida juga dilaporkan bertanding untuk jawatan naib ketua Wanita PKR Sungai Siput.

Rohaida mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk rakaman suara dan gambar. Dalam laporan polisnya Rohaida berkata, beliau diminta ke pusat khidmat Kesavan pada 25 Oktober dan diberikan cek RM500.

Rohaida mendakwa cek berkenaan sudah ditunaikan dan diserahkan kepada SPRM di Ipoh, Perak.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tuduhan bahawa calon yang bersama dalam “kemnya” mengamalkan politik wang hanya memberikan kesan buruk kepada pesaing beliau.

“Anggota di bawah tahu. Siapa yang bawa duit dan sebagainya.

“Saya penganggur, saya tak ada kapasiti menawarkan jawatan, wang dan sebagainya,” katanya. – FMT

One thought on “Rafizi Pertahan Ahli Parlimen PKR Didakwa Beri Rasuah RM500 Kepada Pengundi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.