Polis Soal Siasat MP Disyaki Cabul Remaja Bawah Umur Esok

SHAH ALAM – Polis dijangka mengambil keterangan seorang Ahli Parlimen yang disyaki mencabul seorang gadis bawah umur baru-baru ini, esok.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, pasukan polis dari Bukit Aman akan merekodkan keterangan ahli politik negeri itu yang juga bekas menteri, di Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, siasatan tetap berjalan, walaupun laporan polis terhadap ahli politik tersebut telah ditarik balik oleh mangsa.

Kenyataan itu sekaligus menafikan bahawa kes tersebut telah ditutup, sebagaimana dakwaan Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan semalam. 

“Bukan bermaksud kita diam atau cuba melindungi dia (bekas menteri). Apabila gadis berusia 15 tahun buat laporan polis, kita klasifikasikannya sebagai sulit.

“Tapi kita teruskan siasatan. Mungkin bekas menteri itu ada berjumpa keluarga mangsa untuk meminta laporan ditarik balik. Tapi tak bermakna kita tutup kes,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga telah memanggil beberapa orang saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Pada masa ini, polis sedang mendapatkan nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dipetik Malaysiakini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Semalam, Sanjeevan mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap seorang Ahli Parlimen yang didakwa telah mencabul seorang remaja berusia 15 tahun.

Aktivis itu berkata, remaja berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung perlakuan ahli politik yang juga bekas menteri kanan di Balai Polis Kangar pada 20 Oktober lalu.

Sanjeevan turut memuatnaik gambar remaja didakwa mangsa cabul tersebut yang dikaburkan, selain turut mendedahkan nama ahli politik tersebut di Twitter. -SuaraTv 

One thought on “Polis Soal Siasat MP Disyaki Cabul Remaja Bawah Umur Esok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.