Pemilihan PKR Kuala Selangor Disabotaj, Alat ‘Jammer’ Ditemui Di Pusat Pengundian

KUALA SELANGOR – Calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli mendakwa pemilihan parti itu yang diadakan di Stadium Kuala Selangor, di sini semalam, disabotaj.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati berkata, petugas Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) menemui alat ‘jammer’ (alat penghadang talian) yang diletakkan di bahagian tempat duduk stadium itu.

“Petugas MDKL jumpa alat ini di bahagian tempat duduk dalam stadium ketika sedang berkemas.

“Kemungkinan besar ada unsur sabotaj. Kita tidak boleh nak buktikan siapa namun kenapa alat ini ada dalam stadium?

“Adakah alat ini menjadi punca gangguan internet di pusat pemilihan?,” katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Juwairiya berkata, beliau dimaklumkan hanya petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang dibenarkan berada di dalam stadium.

“Saya sendiri sudah tanya kepada Yang Dipertua MDKS (Rahilah Rahmat) jika barangan itu milik MDKS, namun beliau menafikannya.

“Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan dan sedang menunggu siasatan lanjut berikutan penemuan alatan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, JPP sepatutnya menyediakan pasukan teknikal di setiap pusat pemilihan bagi berdepan sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati alat penghadang talian yang ditemui ialah jenis ‘Mobile Phone Jammer 6 Antennas’.

“Kita sedang menyiasat lanjut kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat,” katanya.

Terdahulu, pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang sepatutnya berlangsung hari ini akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan berikutan kegagalan sistem e-undi.

Ketua JPP, Azmira Ibrahim berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat pusat untuk dibincangkan sebelum tarikh baharu diputuskan. – BH

One thought on “Pemilihan PKR Kuala Selangor Disabotaj, Alat ‘Jammer’ Ditemui Di Pusat Pengundian

  • October 29, 2018 at 8:17 am
    Permalink

    Itu mobile phone jammer bukan internet jammer, biasa la alat ni selalu di pasang didalam mahkamah, panggung wayang, hospital dll supaya tiada gangguan bunyi panggilan kepada mobile phone. Kalau guna komputer riba dalam dewan tiada kene mengena dengan mobile phone jammer. Ianya hanya jamming talian talipon wayarless saja.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.