PBS Dakwa Calon Ketua Cabang PKR Miliki 2 MyKad

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mendakwa seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding jawatan Ketua Cabang Kimanis dalam pemilihan parti itu didakwa memiliki dua MyKad.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, mendakwa perkara itu didedahkan selepas calon terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan rasuah minggu lalu.

“Lebih mengelirukan, satu surat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditunjukkan oleh pihak yang menangkapnya, menunjukkan bahawa JPN tahu mengenai lelaki itu yang memegang dua MyKad.

“JPN dan Pejabat Ketua Menteri perlu memberi penjelasan kepada rakyat dan tidak melihatnya sebagai perkara yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, dua ahli PKR, termasuk calon ketua PKR cabang Kimanis ditahan SPRM selepas menerima maklumat bahawa kedua-dua mereka terbabit dalam cubaan untuk memberi rasuah baru-baru ini.

Difahamkan kedua-dua mereka didakwa cuba memberi suapan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR untuk membenarkan calon ketua cabang yang diisytiharkan bankrap, bertanding dalam pemilihan parti.

Kedua-dua lelaki berumur 46 dan 47 tahun itu kini ditahan reman enam hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (B) (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Mositun berkata, Parti Warisan Sabah (WARISAN) perlu berhenti mengelirukan rakyat berhubung isu pendatang asing tanpa izin dan pengeluaran MyKad kepada warga asing.

“Pilihan Raya Umum (PRU) sudah berakhir, sekarang sudah enam bulan berlalu tetapi belum ada tindakan konkrit diambil bagi menyelesaikan isu itu yang digunakan WARISAN dalam PRU-14.

“Apa yang dikatakan kerajaan negeri ketika ini kebanyakannya hanya penafian, janji dan menyalahkan kerajaan lalu. Ia tidak memberi apa-apa kebaikan kepada Sabah,” katanya. – BERITA HARIAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.