Matinya Angsa Bertelur Emas Itu!

DALAM tempoh enam bulan pertama Pakatan Harapan memerintah, Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) telah merosot sebanyak AS$6.6 bilion. Ini bersamaan dengan hampir RM27.4 bilion.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pentadbiran negara pada April 2009, Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia ialah AS$87.6 juta. Pada 2017, Rizab BNM meningkat dari AS$95 bilion kepada AS$101 bilion.

Apabila Najib meninggalkan jawatan Menteri Kewangan dan perdana menteri, Rizab Antarabangsa BNM ialah AS$109.5 bilion (data pada 30 April 2018).

Rizab Antarabangsa BNM merosot kepada AS$108.5 bilion pada 31 Mei 2018. Ini berlarutan pada bulan-bulan seterusnya, iaitu kepada AS$104.7 bilion (Jun 2018), AS$104.5 bilion (Julai 2018), AS$104.4 bilion (Ogos 2018) dan terkini AS$103.0 bilion (September 2018).

Sehingga 15 Oktober lalu, Rizab Antarabangsa ini menyusut lagi kepada AS$102.8 bilion. Ini bermakna dalam tempoh dua minggu sahaja rizab BNM susut sebanyak AS$200 juta. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil negara akan berhadapan satu lagi krisis kewangan seperti 1997.

Tiada siapa yang tampil membuat penjelasan mengapa berlaku kemerosotan yang begitu ketara. Apakah wang tersebut digunakan untuk mempertahankan nilai Ringgit yang menyusut atau jumlah eksport kita berkurangan terlalu banyak dalam masa lima bulan ini?

Pada Ogos 2018, BNM merendahkan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun ini dari 5.5 – 6% kepada 5%. Sebahagian penganalisis ekonomi melihat jangkaan ini juga sukar dicapai kerana pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua hanya pada kadar 4.5%.

Tindakan kerajaan membatalkan beberapa projek besar, meminda dan menukar banyak kontrak lain dan kegagalan menarik pelaburan asing dalam misi perdagangan beberapa bulan ini dilihat sebagai masa depan yang suram kepada ekonomi negara.

Selain pertumbuhan ekonomi, kedudukan Ringgit juga turut menjadi tanda tanya. Sebagai negara pengeksport minyak mentah kedudukan nilai mata wang negara banyak bergantung kepada harga minyak mentah dunia.

Secara mudah apabila harga minyak mentah dunia naik, maka nilai Ringgit pun akan mengukuh kerana kita mendapat banyak mata wang asing dan ada permintaan yang banyak kepada Ringgit. Justeru sangat misteri apabila harga minyak dunia telah naik sehingga AS$74 setong, namun nilai Ringgit terus merosot kepada RM4.17 berbanding Dollar AS.

Sekadar perbandingan ringkas, pada Jun 2015 ketika harga minyak mentah dunia AS$60 setong, Ringgit diniagakan pada nilai RM3.78 berbanding Dollar AS. Pada awal Januari 2018, ketika harga minyak dunia naik kepada AS$60 setong, Ringgit mengukuh kepada RM3.89 berbanding Dollar AS.

Alasan ada kejatuhan mata wang serantau tidak relevan kerana mata wang serantau mempunyai alunan ekonomi yang berlainan. Fakta yang relevan ialah jarang sekali Ringgit Malaysia berterusan lemah ketika harga minyak mentah dunia melebihi AS$60 setong.

Justeru apakah yang menyebabkan ekonomi negara menjadi suram dan seolah-olah akan mengalami krisis pada tahun hadapan?

Kerajaan Malaysia berhadapan krisis kebolehpercayaan (deficit of trust). Pelabur sedia ada memilih jalan berhati-hati berhadapan polisi tidak menentu kerajaan baharu ini. Ia bukan sahaja dalam polisi ekonomi dan pentadbiran, malah juga kestabilan politik.

Kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dari parti yang hanya mempunyai 13 kerusi telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur mengenai kestabilan politik negara.

Pelabur Timur Tengah, China dan Jepun menunggu dengan penuh debar apa polisi dan perancangan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr Mahathir dan Anwar mempunyai pemikiran politik yang berbeza. Dr Mahathir cenderung kepada Jepun, Anwar cenderung kepada Amerika Syarikat.

Keadaan ekonomi negara pasca 9 Mei 2018 mengingatkan penulis mengenai satu cerita turun-temurun yang telah melalui pelbagai rekayasa. Ia sangat sesuai dengan keputusan rakyat pada 9 Mei lalu.

Pada suatu masa dahulu terdapat sepasang suami isteri yang hidup sederhana hasil daripada seekor angsa yang bertelur emas dalam jangka masa tertentu. Pada suatu hari mereka menjadi tamak dan menyangka angsa tersebut mempunyai lebih banyak emas tetapi menyembunyikan di dalam badan.

Atas ketamakan mereka menyembelih angsa tersebut bagi tujuan mendapatkan lebih banyak telur emas dengan cepat. Malangnya tiada telur emas dalam badan angsa tersebut kerana proses menghasilkan telur emas tidak semudah yang disangkakan. Akhirnya mereka menjadi papa kedana kerana tiada lagi angsa bertelur emas itu.

* Penulis, Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)

One thought on “Matinya Angsa Bertelur Emas Itu!

  • November 1, 2018 at 2:29 am
    Permalink

    Hang pun sama ?? Komen kritik mcm pandai sgt?? Bantu pulihkan negara ini!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.