Indonesia Sahkan Lion Air Terhempas Di Laut

JAKARTA – INDONESIA . Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan pesawat milik syarikat penerbangan Singapura, Lion Air terhempas di laut utara Kerawang, Jawa Barat.

“Lokasi (terhempas) sudah ditemukan,” menurut kenyataan dikeluarkan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) , sebentar tadi lapor Detiknews.

Susulan itu, Basarnas mengerah tiga kapal dan satu helikopter ke lokasi kejadian.

Sehingga kini, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat malang tersebut.

Pesawat itu dilaporkan hilang daripada radar selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pukul 6.33 pagi tadi (waktu tempatan).

Pesawat JT-610 dilaporkan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada pukul 6.20 pagi (waktu tempatan) dan terputus hubungan 13 minit kemudian.

Difahamkan, pesawat jenis Boeing 737 itu dijadualkan tiba di Pangkal Pinang, Belitung pada pukul 7.20 pagi.

Sementara itu, memetik laporan AFP, jet penumpang itu membawa 188 penumpang dan anak kapal apabila ia hilang hilang sejurus selepas berlepas.

Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan Indonesia, Sindu Rahayu berkata, pesawat itu membawa 178 penumpang dewasa, satu kanak-kanak dan dua bayi, dengan dua juruterbang dan lima anak kapal.

“Pesawat itu telah diminta untuk kembali ke pangkalan sebelum akhirnya hilang dari radar,” katanya dalam satu kenyataan. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.