Dulu Laung Mahu Laksana Pendidikan Percuma, Sekarang Kata Tiada Rancangan Pula, Najib Bidas Maszlee

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik selepas menteri itu menyatakan kerajaan tiada rancangan untuk melaksanakan pendidikan percuma kerana pendidikan sudah ‘hampir’ percuma.

Menerusi Facebooknya, Najib menyifatkan Maszlee umpama cakap tidak serupa bikin kerana sebelum ini melaungkan untuk memberi pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN.

“Dulu kata kerajaan BN zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan sepatutnya percuma, PTPTN patut dihapuskan. 

“Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang.

“Malangnya, apabila ditanya mengenai janji mereka di Dewan Rakyat petang ini, Menteri Pendidikan menjawab bahawa tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma,” katanya

Beliau merujuk kepada jawapan Maszlee di sidang parlimen hari ini yang menyebut:

“Pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma. Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10% daripada kos operasi. Kos 10% itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam.” 

Menyentuh lebih lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendidikan peringkat rendah dan menengah sememangnya sudahpun percuma sewaktu pentadbiran kerajaan BN.

“Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.

“Bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi Menteri Pendidikan PH hari ini mengenai janji-janji dan hasutan PH dahulu,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.