Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Suffian Koroh meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam tadi ketika sedang menjalani rawatan di Hospital KPJ, di sini.

Anak saudara Allahyarham, Alfian Koroh, ketika dihubungi Bernama berkata Suffian, 88, dimasukkan ke hospital berkenaan bagi menerima rawatan sejak 21 Oktober lalu.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Taurid Taud, Keningau, selepas solat Zuhur hari ini.

Menurut Alfian jenazah bapa saudaranya itu dibawa ke kediaman Allahyarham di Kampung Nosoob, Penampang, dekat ini malam tadi dan pada 9.15 pagi ini, dibawa ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk dimandikan serta disembahyangkan.

Allahyarham Suffian meninggalkan 11 orang anak.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada tahun 1983 di bawah kerajaan parti Berjaya pimpinan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Mohd Salleh. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.