Akaun Tabung Harapan Ditutup Pada Disember – Guan Eng

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menutup Akaun Amanah Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) pada 31 Disember ini, selepas tujuh bulan ditubuhkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sehubungan itu, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Amanah Tabung Harapan bagi memastikan pengurusan tabung dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun Tabung Harapan juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.

“Ini adalah kerana Tabung Harapan membabitkan dana yang disumbang oleh rakyat untuk membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan komited untuk terus telus dengan setiap sen yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah terkumpul Tabung Harapan sehingga jam 3 petang semalam sebanyak RM196.3 juta yang merangkumi sumbangan daripada mana-mana orang, organisasi atau badan serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara.

“Kami juga merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada Tabung Harapan,” katanya.

Menurutnya, walaupun jumlah yang disumbang oleh rakyat Malaysia dari hasil titik peluh mereka masih tidak boleh dibanding dengan hutang RM1 trilion diwarisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat skandal kewangan seperti 1MDB, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

“Sejak penubuhannya, pelbagai peringkat masyarakat sudah memberikan sumbangan melalui pelbagai kaedah sebagai menzahirkan solidariti rakyat bersama kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara bertambah baik.

“Keikhlasan kerajaan untuk memastikan sumbangan Tabung Harapan adalah berdasarkan keprihatinan kepada hutang negara dicerminkan dengan penolakan tawaran sebuah syarikat negara asing untuk menderma RM100 juta kerana disyaki ada niat tertentu di sebalik sumbangan itu,” katanya.

Tabung Harapan ditubuhkan oleh kerajaan PH pada 30 Mei lalu untuk menerima wang derma dan sumbangan daripada mana-mana orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.

Selaras itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu bersetuju dengan penubuhan Tabung Harapan mengikut peruntukan subseksyen 9(1), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

Guan Eng berkata, semua rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan derma boleh melakukannya sebelum 31 Disember ini.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma Tabung Harapan yang mendokong pentadbiran kewangan bersih yang bebas dari amalan rasuah,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.