Video : Mafarikha Terima ‘Standing Ovation’ Juri AGT 2

KUALA LUMPUR – Naib juara Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama iaitu Mafarikha Akhir, 25 atau Mafa berjaya mara ke peringkat seterusnya dalam rancangan Asia’s Got Talent musim kedua (AGT2) setelah cemerlang dengan sebuah persembahan memukau.

Bermodalkan lagu dendangan asal Mariah Carey iaitu Hero, Mafa turut membuatkan juri tetap program realiti terkemuka Asia itu iatu David Foster, Anggun dan Jay Park memberikannya pengiktirafan dengan tepukan berdiri atau standing ovation.

Memetik Utusan, dia mengakui objektifnya menyertai pertandingan tersebut adalah untuk membuat kemunculan semula dalam bidang seni suara setelah melihat karier nyanyiannya terumbang-ambing.

“Jujurnya, saya tidak menjangkakan ketiga-tiga juri ternama itu akan berbuat demikian. Saya amat terharu dan mengalirkan air mata. Bukan itu sahaja, hampir seluruh isi dewan juga memberikan tepukan gemuruh. Tidak pernah seumur hidup saya mendapat penghargaan sebegini.

“Ini adalah platform buat saya membuktikan kredibiliti sebagai seorang penyanyi profesional. Sebelum ini saya sudah cuba dan tidak akan berhenti daripada terus mencuba selagi diberi peluang.

“Saya akui, peminat di Malaysia amat mementingkan pakej lengkap untuk bergelar artis, namun AGT2 memberi satu gambaran berbeza,” katanya penuh iltizam.

Usai menamatkan program Vokal Bukan Sekadar Rupa, Mafa pernah mengeluarkan single berjudul Tiba yang mendapat sambutan baik pendengar. Bagaimanapun, empat buah single seterusnya gagal.

Tambah Mafa, selain mahu mengatur semula langkah seninya sebagai penyanyi, dia juga aktif membuat lagu dan mempunyai beberapa koleksi dalam simpanan.

Pada masa yang sama, anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu merupakan seorang jurusolek yang sedang meningkat naik namanya di sekitar Lembah Klang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.