Tabiat Itu Dorong Makan Lebih Banyak

Kajian terbaharu pakar psikologi kesihatan mendapati tabiat makan sambil berdiri atau berjalan tidak akan membantu mengenyangkan perut berbanding menikmatinya di meja makan malah mendorong individu untuk makan lebih ba­nyak.

Menurut Reuters, walaupun dalam jumlah kalori yang sama, tabiat tersebut membuat seseorang itu akan meng­anggap makanan sebagai snek ringan untuk menghilangkan lapar, sekali gus menyebabkan mereka makan 50 peratus lebih banyak daripada biasa, lapor Utusan.

Pakar-pakar di University of Surrey berkata, setiap individu secara lazimnya akan mengambil hidangan lengkap sebanyak tiga kali sehari.

Oleh itu, apabila mereka du­duk secara tertib di meja makan untuk menikmati hidangan tersebut, mereka tidak perlu makan lagi selama beberapa jam.

Tetapi jika mengambil makanan ketika berdiri atau berjalan, mereka tidak akan menganggap­nya sebagai satu hidangan lengkap dan berasa seolah-olah masih perlu makan lagi dalam tempoh terdekat.

Menurut portal Mail Online, penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Appetite itu telah dijalankan ke atas 80 wa­nita bertujuan mendedahkan tentang kesan mental terhadap tahap kelaparan dan tabiat pemakanan seseorang.

Pakar Psikologi Kesihatan, Profesor Jane Ogden percaya industri makanan memacu krisis obesiti dengan memasarkan pelbagai jenis makanan tinggi kalori sebagai snek untuk memanfaatkan budaya di Britain yang gemarkan segalanya dengan pantas dan mudah.

“Para saintis mendapati mereka yang diberi makan hidangan lengkap seperti pasta dalam keadaan berdiri atau sambil berjalan terus, makan 50 peratus lebih banyak kalori termasuk tambahan 100 peratus snek se­perti coklat dalam ujian rasa yang berikutnya berbanding mereka yang menikmati hidangan sama dengan cara duduk di meja makan.

“Walaupun industri sering melabel makanan tinggi kalori dan mudah dibawa sebagai snek, kita seharusnya perlu mengambil kira apa yang dimakan dan menganggapnya sebagai satu hidangan lengkap tidak kira apa cara kita menikmatinya demi mengelakkan masalah berat badan atau terlebih makan,” jelasnya.

Satu laporan oleh Persatuan Diraja Kesihatan Awam yang diterbitkan tahun lalu mendapati orang dewasa Britain menambah purata 767 kalori dalam diet harian mereka setiap ming­gu hanya dengan menikmati roti atau snek lain ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.