Sepanyol Kuasai Semula Wilayah Catalonia

BARCELONA -Sepanyol semalam menguasai Catalonia ketika menteri yang dilantik Perdana Menteri Mariano Rajoy bermesyuarat untuk mengambil alih pentadbiran selepas parlimen wilayah itu dibubarkan.

Kerajaan pusat turut memecat ketua polis Catalonia pada awal pagi semalam kerana bimbang anggota polis tempatan enggan tunduk pada pihak berkuasa Sepanyol.

Beberapa pengawal yang lengkap bersenjata dilihat memasang penghadang besi di sekeliling bangunan parlimen di Barcelona.

Pada malam kelmarin ribuan penyokong kesatuan dan kemerdekaan bertempur selepas parlimen Catalonia mengumumkan kemerdekaan.

Rajoy memecat pegawai kanan polis Catalonia dan mengawal perkhidmatan awam, kewangan dan media menjelang pilihan raya yang dijadualkan 21 Disember ini.

Dia juga melantik Timbalan Perdana Menteri, Soraya Saenz de Santamaria untuk mengetuai kerajaan Catalonia hingga pilihan raya berkenaan.

Pendakwa raya Sepanyol turut memberi amaran anggota parlimen yang bertanggungjawab dalam undian kemerdekaan itu mungkin berdepan tuduhan menderhaka dan boleh dihukum penjara.

Catalonia mengumumkan kemerdekaan selepas mengadakan pungutan suara pada 1 Oktober lalu yang dicemari dengan kekacauan.

Bagaimanapun, pengisytiharan itu gagal mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Perdana Menteri Britain, Theresa May mengecam tindakan itu yang dianggapnya sebagai haram.

Jerman, Perancis, Itali dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah juga tidak mahu mengiktiraf Catalonia sebagai sebuah negara. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.