Presiden KAFA Sebak The Red Warriors Berjaya Kekal Liga Super

PETALING JAYA – Di saat Kelantan berjaya mengutip tiga mata kemenangan untuk memastikan skuad The Red Warriors (TRW) kekal di pentas Liga Super musim depan, adegan penuh emosi presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah dirakam lensa.

Menerusi rakaman yang dikongsi netizen di Facebook menyaksikan Bibi Ramjani Ilias Khan tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja Alessandro Celin meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-81.

Gambar tersebut yang dimuat naik netizen menerusi Facebook The Red Warriors Malaysia menjadi tular di media sosial dan mendapat kira-kira 11,000 like.

Bibi ketika dihubungi mStar Online berkata, perasaan sebak berbaur gembira itu hadir kerana terharu melihat kesungguhan pemain berjihad demi Kelantan.

“Inilah saat paling getir perlu saya hadapi sama ada melihat Kelantan kekal atau jatuh ke Liga Perdana.

“Namun segala dugaan dan rintangan berjaya diharungi dengan sebuah harapan yang menyaksikan kita kekal di Liga Super,” katanya.

Malah, pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu itu turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong terutama seluruh rakyat Kelantan yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan pasukan tersebut.

“Terima kasih kepada penyokong setia yang sentiasa ada dalam suka dan duka… begitu juga kumpulan gendang yang menjadi pemain ke 12,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati di atas prestasi cemerlang pemangku jurulatih Sathit Bensoh.

“Anda sudah lakukan yang terbaik,” katanya merujuk kepada pasukan TRW.

Malah, Bibi yang baharu sahaja menerajui Kafa pada 17 September lalu turut menerima ucapan tahniah dalam kalangan penyokong Kelantan.

Pada masa sama, netizen turut memuji semangat tinggi usahawan kelahiran Kok Lanas, Kelantan itu dalam memperjuangkan skuad Kijang.

Kelantan terselamat daripada tercicir ke saingan Liga Perdana selepas menang 3-1 ke atas Melaka United pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam Sabtu.

Skuad kendalian Sathit Bensoh itu akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 menerusi tandukan Abou Bakar Al Mel dan diikuti gol kedua (minit ke-81) dan ketiga (minit ke-87) menerusi Celin.

Kebangkitan minit-minit akhir itu penuh dramatik dan mendebarkan buat kira-kira 3,000 penyokong pelawat yang mengharapkan kemenangan berpihak kepada mereka untuk terus bersaing di Liga Super musim depan. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.