Pertembungan Kedah, JDT Tentukan Siapa Raja Bola Sepak

JOHOR BAHRU – Bekas pemain Johor, Rizal Sukiman menganggap pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah pada final Piala Malaysia, Sabtu ini bukan sekadar memburu kejuaraan trofi berprestij itu semata-mata.

Malah beliau menganggap pertemuan juara Liga Super dan juara Piala FA itu bakal menentukan status kuasa bola sepak di Malaysia.

“Pada saya ini bukan sekadar final, sebaliknya ia berkaitan dengan kuasa bola sepak di Malaysia. JDT juara Liga Super serta Kedah juara Piala FA dan pada saya siapa yang menang di final nanti, mereka adalah Raja Bola Sepak Malaysia,” katanya hari ini.

Rizal, 45, adalah antara pemain dalam skuad juara Piala Malaysia Johor pada 1991 yang menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Merdeka.

Dan itu adalah kali terakhir trofi berprestij itu singgah ke bumi Johor selepas usaha JDT dihalang Pahang pada final 2014 dengan kekalahan menerusi sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rizal yang turut membantu Johor menjulang trofi Piala FA pada 1998 berkata, peluang JDT untuk merampas kejuaraan dari Kedah cerah berdasarkan prestasi semasa.

“Kalau pemain JDT bermain di tahap terbaik mereka, tiada pasukan di Malaysia yang boleh menewaskan mereka kerana itu saya menganggap peluang mereka untuk menang di final ini 60-40.

“Pada saya pemain JDT tidak perlu bimbang memikirkan kekuatan pasukan lawan, sebaliknya hanya fokus untuk beri aksi terbaik mereka,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Ini kali kedua skuad Harimau Selatan bertemu Kedah bagi perebutan piala tahun ini apabila mereka tewas pada aksi Piala Sumbangsih, Januari lalu menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 selepas permainan terikat 1-1. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.