Kemenangan TRW Hadiah Buat Bibi Ramjani, Peminat Kata Piya

MELAKA – Kapten Kelantan Badhri Radzi bangga dengan semangat juang rakan sepasukan yang membantu pasukan itu kekal dalam saingan Liga Super 2018 selepas mengatasi Melaka United (MU) 3-1 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Baginya, kemenangan itu sebagai hadiah buat presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan yang mahu skuad terbabit kekal di liga berprestij terbabit walaupun terpaksa menunggu sehingga ke perlawanan terakhir liga, lapor BH.

Katanya, lebih manis kemenangan di gelanggang lawan ketika pasukan ketinggalan dan hanya mengesahkan sasaran terbabit selepas 10 minit terakhir berikutan hanya terikat 1-1 pada minit ke-74 perlawanan.

“Sepanjang 90 minit perlawanan kami mengharungi dengan penuh debaran dan kesukaran namun usaha, kesungguhan dan kegigihan untuk memburu jaringan kemenangan berjaya direalisasikan berikutan kekalahan atau seri meletakkan kami terjerumus ke Liga Perdana,” kata pemain yang mesra dengan panggilan Piya itu.

“Saya bangga dengan semangat rakan sepasukan serta sokongan pengurusan dan peminat yang sentiasa berada di belakang kami ketika Kelantan berada dalam kesukaran pada aksi terakhir terbabit.

Kebangkitan dramatik Kelantan bermula menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-74 menerusi tandukan Abou Bakar Al Mel  diikuti gol kedua (m-81) dan ketiga (m-87) hasil sentuhan pemain gantian Allesandro Celin, cukup untuk skuad itu kekal di pentas Liga Super 2018.

Keresahan penyokong The Red Warriors dilihat memuncak selepas setiap percubaan pemain skuad terbabit tidak menepati sasaran sepanjang 45 minit pertama, tambahan selepas ketinggalan 1-0 menerusi tandukan Nicholas Swirad pada minit ke-30.

Sementara itu, jurulatih Kelantan Sathit Bensoh berkata dia bangga pemainnya berjuang habis-habisan untuk menang sekali gus mengekalkan pasukan terbabit di Liga Super.

Menurutnya, dia juga membuat keputusan tepat dengan membawa masuk Celin pada penghujung babak kedua walaupun menyedari kecederaan pemain itu masih belum pulih sepenuhnya.

Kemasukan import Brazil itu jelas memberi suntikan bertenaga di barisan depan untuk menyumbang dua jaringan bagi mengesahkan tempat di Liga Super 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.