Enggan ke Liga Perdana, Sarawak Harap FAM Tambah Kuota

KUCHING — Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menerima kegagalan pasukan Liga Supernya untuk berada dalam kelompok sepuluh pasukan teratas bagi kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

Setelah seri tanpa jaringan dengan T-Team dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Negeri di sini malam tadi, pasukan ‘Ngap Sayot’ mengakhiri saingan musim ini di tangga ke-11, bermakna ia akan bermain dalam Liga Perdana pada musim depan, lapor Bernama.

Bagaimanapun pengurus pasukan Datuk Posa Majais ketika ditemui Bernama sebaik tamat perlawanan malam tadi, berkata pihaknya amat mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneruskan rancangannya untuk mempunyai 14 pasukan dalam Liga Super musim depan.

“Sekiranya format itu dilaksanakan bermakna Sarawak akan kekal dalam Liga Super musim depan,” katanya.

Beliau berkata kontrak pemain-pemain yang ada dengan pasukan sekarang akan berakhir pada penghujung November ini dan prestasi semua pemain akan dinilai untuk menentukan sama ada kontrak mereka akan disambung atau sebaliknya.

Sementara itu, ketua jurulatih Pengiran Bala menyatakan minat beliau untuk terus membimbing pasukan Sarawak untuk musim depan.

“Bagaimanapun ia terpulang kepada pihak pengurusan (FAS) untuk menentukan nasib saya,” katanya yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih daripada David Usop yang direhatkan pada penghujung saingan (baki enam perlawanan).

Menurutnya, Sarawak memiliki beberapa pemain muda berkaliber yang boleh diserapkan ke dalam pasukan dan beliau yakin mampu membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap musim depan.

Mengulas keputusan seri tanpa jaringan dengan T-Team, Bala berkata Sarawak berhak menang kerana melancarkan serangan bertali arus tetapi beberapa percubaan berjaya digagalkan penjaga gol pasukan lawan Mohd Suhaimi Husin.

Katanya, T-Team jelas tertekan pada babak kedua tetapi kecemerlangan penjaga golnya mengecewakan Sarawak. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.