12 Bandar Zon Bebas Asap 2030

OSLO – Sebanyak 12 bandar terkenal dunia termasuk London, Paris, Los Angeles dan Cape Town membuat perjanjian untuk hanya membeli bas elektrik bermula tahun 2025 dan mewujudkan zon bebas asap kenderaan di kawasan-kawasan utamanya menjelang 2030 dalam usaha melindungi alam sekitar.

Menurut Reuters, bandar-bandar dengan jumlah gabungan hampir 80 juta penduduk itu sepakat untuk menggalakkan aktiviti berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam di bawah deklarasi mewujudkan ‘jalan bebas bahan api fosil’ yang ditandatangani bersama Isnin lalu, lapor Utusan.

Bandar-bandar berkenaan dilaporkan turut menetapkan misi alam sekitar yang lebih ketat berbanding undang-undang kerajaan untuk menghadkan pencemaran udara dan mencapai matlamat Perjanjian Iklim Paris 2015 yang bertujuan membendung pelepasan gas rumah hijau.

“Pencemaran udara yang disebabkan oleh kenderaan petrol dan diesel membunuh berjuta-juta orang di bandar-bandar di seluruh dunia serta menyebabkan perubahan iklim,” kata Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo dalam satu kenyataan.

Copenhagen, Barcelona, ​​Quito, Vancouver, Mexico City, Milan, Seattle dan Auckland merupakan bandar lain yang turut terlibat dalam deklarasi tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.