Video: Tony Pua Perlu Letak Jawatan, Sahut Cabaran Arul Kanda – Ahmad Razif

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua digesa meletakkan jawatannya selaku Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan berdebat dengan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan kesudian Arul menerima perlawaan debat Tony itu merupakan satu tindakan yang bagus.

 

“Itu bagus, kerana semalam telah diterangkan dengan jelas berhubung isu yang melibatkan 1MDB, kemana dan daripada mana wang 1MDB dibelanjakan.

 

“Saya rasa ia merupakan satu tindakan yang bagus dan sekiranya Tony Pua merasakan dakwaan yang dilemparkan sebelum ini adalah betul, dia seharusnya menerima cabaran debat itu.” katanya ketika ketika sidang media sejurus selepas mengadakan lawatan di tapak program Pesona Terengganu yang diadakan di Dataran Merdeka petang tadi.

 

 

Sementara itu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz turut menggesa Tony Pua meletakkan jawatan di dalam PAC bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan memandangkan siasatan 1MDB masih berjalan.

 

“Tidak boleh begitu (masih lagi ahli PAC), akan ada konflik kepentingan kerana PAC kini menyiasat dan bagaimana hendak mengadakan debat, itu mudah sahaja,” soal beliau.

 

“Itu bagus (cadangan debat antara Tony Pua dan Arul Kanda). Dia (Tony Pua) harus meletakkan jawatan (selaku ahli PAC) kerana dia tidak boleh menjadi ahli PAC sebab dia adalah salah seorang yang menyiasat (kes 1MDB), tidak boleh.

 

“Dia perlu jadi seorang yang neutral, jadi mesti letak jawatan dan boleh mengadakan debat dengan Arul Kanda,” kata Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

 

Awal hari ini, Arul Kanda selaku Presiden 1MDB mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia menerima cabaran Tony Pua untuk muncul dalam rancangan temu ramah kendalian Pua.

 

Malah beliau sedia untuk menerima sebarang persoalan mengenai syarikat berkenaan dengan syarat Pua bersedia untuk melepaskan jawatan dalam PAC.

 

“Beliau harus keluar daripada PAC dan berdebat, sebab PAC sedang menyiasat. Mana boleh berbuat begitu kerana masih ahli”, soal Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

 

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara hari ini menggesa Arul bersetuju menyahut cabaran beliau untuk mengadakan wawancara secara terbuka yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen membincangkan isu 1MDB yang masih belum diperjelaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.