Video: Polis Tahan Lapan Suspek Samun Dalam Lif

KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan individu termasuk seorang remaja perempuan dipercayai terlibat dalam kes samun dalam lif sebuah kondominium di Setapak pada 17 Oktober lalu.

 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, semua suspek berumur antara 16 dan 33 tahun.

 

Dalam kejadian itu, dua lelaki menaiki lif di tingkat 7 sebelum menyerang seorang wanita berusia 23 tahun menggunakan siku sebelum merampas beg tangan mangsa yang menaiki lif ke rumahnya di tingkat lapan.

 

“Susulan itu, polis menahan empat lelaki dan seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Jalan Kampung Batu 5, Jalan Ipoh semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, hari ini.

 

Mohamad Roy berkata, seorang daripada individu yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan kes samun wanita di dalam lif itu selain memiliki empat rekod jenayah serta tiga rekod individu dikehendaki di Selayang dan Gombak.

 

“Turut dirampas sebuah motosikal jenis 125Z yang dilaporkan hilang di Jinjang,” kata Mohamad Roy.

 

Beliau berkata, susulan itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan di Taman Setapak Indah pada kira-kira 12.40 tengah hari semalam.

 

“Suspek dipercayai memandu kereta Honda CRV pada hari kejadian,” katanya sambil menambah polis merampas kereta jenis Suzuki Swift serta dua set nombor pendaftaran palsu.

 

Polis turut menahan dua lagi individu berumur 26 dan 33 tahun dalam operasi berasingan di Taman Sri Ukay dan Ukay Perdana kira-kira 4 petang hari yang sama.

 

“Semua suspek yang ditahan tidak bersekolah dan tidak bekerja,” kata Mohamad Roy yang turut memberitahu mereka positif ujian air kencing bagi dadah jenis syabu. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.