Tiada Komplot Singkir Muhyiddin

KUANTAN – Tiada sebarang komplot untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya kebanyakan ketua Umno bahagian melahirkan rasa dukacita terhadap sikap yang ditunjukkan bekas timbalan perdana menteri itu.

 

Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, kata-kata Muhyiddin untuk mempertahankan Umno tidak selari dengan tindakannya yang cuba memburukkan Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi.

 

Menurutnya, tindakan itu membuatkan ramai ketua bahagian bosan dengan sandiwara yang sengaja dimainkan Muhyiddin.

 

“Situasi sekarang ini terlalu banyak cerita buruk yang diperkatakan mengenai parti.

 

“Ini memberikan gambaran tidak baik kepada pemimpin dan ahli di peringkat bawahan. Beliau adalah pemimpin tertinggi dan seharusnya menunjukkan kesetiaan terhadap parti dan juga Presiden,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Abdul Manan berkata, Muhyiddin ibarat cuba menagih simpati dan menganggap dirinya dianiaya oleh orang-orang yang tidak menyokongnya.

 

“Kalau nak jadi pemimpin, kita kena telus, jujur dan ikhlas. Bukan di depan lain, di belakang lain,” katanya.

 

Beliau berkata, dakwaan mengenai gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin adalah tidak benar kerana semua bijak menilai untuk memilih pemimpin. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.