Koyak Poster Erdogan, Dua Remaja Turki Berdepan Hukuman Penjara

ISTANBUL – Dua pelajar berusia 12 tahun dan 13 tahun hari ini didakwa atas tuduhan menghina Presiden, Recep Tayyip Erdogan, apabila bertindak menurunkan poster Erdogan.

 

Ia adalah kes pendakwaan terbaru di Turki membabitkan kanak-kanak, sehingga mencetus kebimbangan mengenai hak kebebasan bersuara di bawah pimpinan Erdogan.

 

Akhbar tempatan, Hurriyet melaporkan, pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara antara 14 bulan hingga empat tahun lapan bulan untuk kedua-dua tertuduh.

 

Remaja terbabit ditahan pada Mei lalu kerana mengoyakkan poster Erdogan di tepi jalan di daerah Diyarbakir, namun mereka mempertahankan diri dengan menyatakan sekadar mahu menjual kertas.

 

“Kami tidak mengendahkan gambar siapa yang tertera di kertas itu, kami tak tahu pun siapa dia,” kata remaja 12 tahun itu yang hanya dikenali dengan singkatan KY kepada majistret.

 

Peguam remaja terbabit, Ismail Korkmaz, berkata hukuman undang-undang ke atas kanak-kanak itu adalah suatu perkara yang menyedihkan dari segi keadilan.

 

Kanak-kanak lelaki itu didakwa di bawah Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun kepada sesiapa saja yang didapati melakukan perbuatan yang ‘menjejaskan imej’ ketua negara.

 

Pengkritik berkata, Erdogan kini semakin autoktarik sejak dilantik sebagai Presiden pada Ogos 2014, iaitu selepas lebih satu dekad menjadi Perdana Menteri, dengan bilangan kes pendakwaan kerana menghina beliau mula meningkat.

 

Artis, wartawan dan pelajar sekolah turut menjadi sasaran. – AFP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.